(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
7) SUNAT membaca ta‘awwudz sebelum membaca Basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim) walaupun pada sembahyang jenazah. Lafaz ta‘awwudz, A’uzu Billahi Minasyaitanir Rajim yang membawa erti : “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.”
Sunat membaca ta‘awwudz pada setiap raka‘at, namun membacanya pada raka‘at pertama amat ditekankan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Azkar: Disunatkan ta‘awwudz pada raka‘at yang pertama. Jika tidak dibaca pada raka‘at pertama, maka dibaca pada raka‘at kedua. Jika tidak dibaca pada raka‘at kedua, dibaca pada raka‘at seterusnya. Sekiranya pada raka‘at pertama sudah mengucapkan ta‘awwudz, maka membacanya pada raka‘at yang selanjutnya pada pendapat yang lebih shahih adalah sunat. Namun membaca pada rakaat yang pertama lebih mu’akkad (lebih diberatkan).
8) Sunat orang yang sembahyang membaca Rabbighfirli selesai membaca al-Fatihah dan sebelum menyebut “amin”.
Menurut Imam Syabramallisi Rahimahullah ditambah, Waliwalidayya Walijamiil Muslimiin.
9) Sunat membaca “amin” selesai membaca al-Fatihah.
Sunat mengucapkan bacaan “amin” bagi imam, ma’mum dan orang sembahyang sendirian. Di dalam sembahyang yang disunatkan menjahr (menyaringkan) bacaan, imam dan orang yang sembahyang sendirian disunatkan menyaringkan bacaan “amin”. Menurut pendapat yang shahih sunat bagi ma’mum, sama ada sedikit atau ramai jemaahnya menyaringkan bacaan “amin” bersama-sama dengan imam, iaitu tidak mendahului atau mengakhirkan bacaan “amin” dari “amin” imam.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“Apabila imam telah membaca, Ghairil Maghduubi Alaihim Waladaaleen maka katakanlah “amin”. Kerana sesungguhnya barangsiapa bersamaan bacaan (amin)nya dengan bacaan (amin) malaikat, diampunkan segala dosa-dosa (kecil)nya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
10) Sunat diam sebentar pada kadar bacaan Subhanallah pada tempat-tempat berikut:
1) Antara takbiratul ihram dan do‘a iftitah
2) Antara do‘a iftitah dan ta‘awwudz
3) Antara ta‘awwudz dan Basmalah
4) Antara akhir al-Fatihah dan lafaz “amin”
5) Antara lafaz “amin” dan permulaan surah
6) Antara akhir surah dan takbir untuk ruku‘.
11) Sunat dibaca ayat-ayat atau surah al-Qur’an selepas bacaan surah al-Fatihah pada dua raka‘at pertama.
Sunat memanjangkan bacaan ayat-ayat atau surah al-Qur‘an pada raka‘at pertama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam memanjangkan bacaan surah pada raka‘at yang pertama ketika sembahyang fardhu Zuhur dan memendekkannya pada raka‘at yang kedua.
12) Apabila ma’mum selesai membaca al-Fatihah pada raka‘at ketiga dan keempat, dan imam belum lagi ruku‘, sunat bagi ma’mum mengisikan waktu tersebut dengan membaca doa atau membaca ayat-ayat al-Qur’an.
Namun yang lebih awla (utama) adalah membaca ayat-ayat al-Qur’an. Manakala jika imam belum lagi berdiri selepas tasyahhud awwal, maka sunat bagi ma’mum menyambung shalawat untuk ahli keluarga Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan seterusnya.
13) Sunat dibaca surah-surah tertentu di dalam sembahyang fardhu yang dilakukan pada hari Juma‘at sebagaimana berikut:
A) Di dalam sembahyang fardhu Juma‘at dan sembahyang fardhu Isya’, sunat dibaca surah al-Jumu‘ah pada raka‘at pertama dan surah al-Munafiquun pada raka‘at kedua, atau surah al-A‘laa pada raka‘at pertama dan surah al-Ghasyiyah pada raka‘at yang kedua.
B) Di dalam sembahyang fardhu Subuh, sunat dibaca surah as-Sajdah pada raka‘at pertama dan surah al-Ghasyiyah pada raka‘at yang kedua.
C) Di dalam sembahyang fardhu Maghrib, sunat dibaca surah al-Kafirun pada raka‘at pertama dan surah al-Ikhlas pada raka‘at kedua.
14) Bagi imam dan orang yang sembahyang bersendirian adalah sunat menyaringkan suara ketika sembahyang Subuh, pada dua raka‘at pertama sembahyang Maghrib, sembahyang Isya’, pada kedua sembahyang Hari Raya, Tarawih, Witir di bulan Ramadan dan ketika sembahyang Gerhana Bulan. Begitu juga disunatkan imam menyaringkan suara ketika sembahyang fardhu Juma‘at.
15) Sunat takbir al-intiqal (takbir untuk berpindah dari satu rukun pada satu rukun yang lain) ketika tunduk untuk ruku‘ dan sujud, dan ketika bangkit dari sujud dan tasyahhud awwal.
16) Sunat bagi imam menyaringkan suara pada takbiratul ihram dan takbir al-intiqal dengan tujuan zikir sahaja atau dengan tujuan zikir serta makluman kepada ma’mum. Manakala bagi ma’mum dan orang yang bersembahyang secara bersendirian, makruh hukumnya mengeraskan suara pada bacaan tersebut.
17) Ketika ruku‘, sunat menyamaratakan kedudukan punggung, leher dan kepala, serta tangan memegang kedua belah lutut.
18) Bagi lelaki sunat merenggangkan kedua belah siku dari rusuk dan merenggangkan perut dari kedua belah paha ketika ruku‘ dan sujud. Manakala bagi perempuan sunat merapatkan anggota-anggota tersebut.
19) Ketika ruku‘, sunat membaca tasbih sekurang-kurangnya sekali dan lebih afdhal di baca sebanyak tiga kali. Lafaz tasbih ketika ruku‘, Subhanallah Rabbiyal Azeemi Wabihamdihi, membawa erti, “Maha suci Tuhanku yang Maha Agung dan segala puji baginya.”
Kemudian sunat disambung dengan membaca: Subhanakallahumma Rabanna Wabihamdika Allahummaghfirlahu, yang membawa erti, “Maha suci Engkau Ya Allah ya Tuhan kami dan segala puji bagiMu. Ya Allah, ampunilah dosaku.”
Kemudian sunat disambung lagi dengan doa yang membawa erti, “Ya Allah, hanya kepadaMu aku ruku‘, dan hanya kepadaMu aku beriman, dan hanya kepadaMu aku berserah diri. Aku menundukkan kepadaMu pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulang belulangku, urat sarafku, rambut-rambutku, kulitku dan apapun yang dilakukan oleh kakiku, semuanya kerana Allah Tuhan semesta alam.”
Namun begitu, jika tidak mahu menggabungkan bacaan di atas ketika ruku‘, maka membaca tasbih sebanyak tiga kali adalah lebih awla (utama) berbanding bacaan-bacaan yang lain.
Bersambung minggu depan…