Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sungai bersih, alam sekitar terpelihara

    PORTLAND – Dikenali sebagai salah sebuah bandar yang memiliki panorama yang cukup indah dengan keadaan pohon menghijaunya yang rendang dan aliran sungai yang tenang di Amerika Syarikat

    Namun selama lebih berdekad lalu, para penduduk telah berhadapan dengan isu berenang di Sungai Willamette berikutan daripada limpahan air kumbahan sekaligus membiak bakteria yang mencemarkan keadaan sungai tersebut.

    Kini, sistem paip bernilai AS$1.4 bilion yang baru dipasang secara tidak langsung mengusir rasa kebimbangan di kalangan sekaligus kembali meningkatkan tahap keselamatan bagi perenang di sungai tersebut.

    Pengurusan bandaraya itu telah bekerjasama dengan kumpulan sivik yang dikenali sebagai Projek Akses Manusia untuk menarik penduduk ke Willamette pada musim panas ini dengan memuat naik jadual bagi acara renang dan pengumuman bahawa sungai tersebut telah selamat untuk digunakan.

    Kempen tersebut juga dianjurkan bagi menghilangkan kegusaran orang awam berhubung mengenai amaran tahap keselamatan dan reputasi kehijauan alam semula jadi di bandaraya itu sejak berdekad lalu.

    Sungai Willamette, Portland telah dinaiktaraf dan diharap akan dapat menjadi satu tarikan. – AP
    Sungai Willamette, Portland telah dinaiktaraf dan diharap akan dapat menjadi satu tarikan. – AP
    Alex Johnson bersama dengan kumpulan 30 orang perenang telah melakukan aktiviti renangan bagi meyakinkan tahap keselamatan dan kebersihan Sungai Willamette. – AP
    Alex Johnson bersama dengan kumpulan 30 orang perenang telah melakukan aktiviti renangan bagi meyakinkan tahap keselamatan dan kebersihan Sungai Willamette. – AP

    Usaha pembetungan saliran air sungai di beberapa buah kawasan di AS telah bermula sejak tahun 2013 di mana ia meliputi kawasan Sungai Charles di Boston sehingga ke Sungai Los Angeles dan usaha itu dijangka bakal berterusan bagi mengembalikan keindahan alam sekitar di beberapa kawasan di AS.

    “Sungai merupakan antara kawasan awam terbesar di Portland di mana kebanyakan orang awam sering mengunjunginya sekaligus melakukan aktiviti riadah dan berenang di sungai itu,” jelas Willie Levenson yang mengetuai Projek Akses Manusia.

    Terdapat bilangan komuniti yang memiliki pilihan untuk melakukan aktiviti riadah dan berenang di kawasan pantai yang berdekatan namun bagi golongan yang tinggal di kawasan pedalaman pula lebih selesa untuk memilih berenang di kawasan sungai tersebut.

    Sejak kawalan projek pembetungan selesai dilaksanakan pada sekitar tahun 2011, aktiviti riadah seperti berenang, berbasikal juga semakin meningkat sehingga ada kalanya meliputi kawasan yang terkawal.

    “Kami tidak boleh berpura-pura menganggap bahawa berenang di kawasan pedalaman Portland sebagai sesuatu aktiviti yang membosankan bahkan ia juga satu cara untuk mengembalikan keceriaan di kawasan tersebut. Ia merupakan langkah terbaik untuk menghindarkan masyarakat daripada terus memandang serong terhadap keadaan sungai dan terus meneroka,” jelas Levenson.

    Projek Akses Manusia telah giat berusaha selama beberapa tahun untuk menaiktaraf semula status Sungai Willamette sekaligus berjaya menjadi satu tarikan di Portland.

    Dalam masa terdekat sebuah pantai baru yang dilengkapi dengan anggota keselamatan dan kelengkapan bakal dibuka berdekatan dengan kawasan dermaga yang juga cukup dekat dengan kedai yang berkonsepkan hipster seperti kafe dan kedai yang menawarkan produk yang lain.

    Sistem tiub aliran sungai telah direncanakan oleh Projek Akses Manusia dijangka bakal menarik lebih ramai perenang untuk melakukan aktiviti berenang merentasi Sungai Willamette sebanyak beberapa kali seminggu.

    Wheeler, salah seorang perenang merencanakan pelan untuk meningkatkan akses ke sungai tersebut pada awal tahun ini dan merancang untuk melakukan aktiviti renang bersama 500 peserta di sungai itu.

    Bandaraya tersebut berhasrat untuk membuka dua buah pantai pada tahun yang mendatang sambil melengkapinya dengan dok terapung di sepanjang tebing sungai sekaligus turut melengkapinya dengan tandas awam, bangku berkelah, payung dan air pancuran.

    Wheeler juga telah berbincang untuk menyingkirkan Innerstate 5 bagi meningkatkan sistem aliran Sungai Willamette sekaligus meningkatkan taraf kebersihannya.

    Para remaja kelihatan cukup teruja untuk melakukan aktiviti jet ski di Sungai Willamette. – AP
    Para remaja kelihatan cukup teruja untuk melakukan aktiviti jet ski di Sungai Willamette. – AP

    “Kita memiliki peluang untuk membentuk semula wajah bandar sekaligus meningkatkan semangat kemasyarakatan di kalangan diri penduduk,” jelas Wheeler.

    Hubungan di antara Portland dengan Sungai Willamette bukan merupakan sesuatu perkara yang mudah untuk dikawal.

    Selama beberapa dekad, keadaan di sungai tersebut dianggap seperti lebuh raya di dalam air di mana ia dicemari oleh kesan pencemaran dari industri yang mencemarkan kebersihan di dalam air.

    Selepas 16 tahun idea tersebut disuarakan, persekutuan alam sekitar telah mengeluarkan rancangan pembersihan sungai di kawasan seluas 16 kilometer merentasi kawasan Sungai Columbia di mana memakan tempoh masa yang tertentu dan kos yang mencecah sehingga berbilion dolar.

    Namun masalah utama yang dihadapi di Portland adalah kesan pencemaran yang terjadi hasil dari kotoran manusia.

    Penduduk setempat juga telah menerima amaran berhubung mengenai kualiti air semasa musim hujan di musim sejuk di mana kadar air yang mencecah sehingga 2.5 milimeter boleh mencetuskan keadaan limpahan air sekaligus membahayakan kehidupan masyarakat sekeliling.

    “Kini, bandaraya tersebut juga telah mengeluarkan amaran berhubung mengenai risiko pada musim sejuk dan tiada sebarang amaran pada bulan Julai dan Ogos di mana aktiviti berenang adalah cukup aktif,” jelas Diane Dulken, jurubicara Biro Perkhidmatan Alam Sekitar Portland. Kajian yang telah dilaksanakan di tapak tersebut juga menunjukkan bahawa keadaan sungai di kawasan adalah berada dalam keadaan selamat.

    “Kami memang benar-benar berusaha untuk melakukan ujian secara berterusan memandangkan masih wujud persepsi negatif di kalangan masyarakat berhubung mengenai isu sungai tersebut,” jelas Dulken.

    Baru-baru ini, Alex Johnson, 24, salah seorang guru renang dan anggota penyelamat di kawasan tersebut telah melakukan aktiviti berenang bersama dengan sekumpulan perenang di Sungai Willamette bagi meyakinkan penduduk setempat akan kebersihan suasana sungai tersebut.

    Johnson bersama-sama dengan sekumpulan perenang yang merangkumi seramai 30 orang telah melakukan aktiviti renangan yang dimulakan dari Jambatan Hawthorne menuju ke Jambatan Morrison di mana ia juga turut merentasi daerah perniagaan Portland yang sibuk sekaligus mengharungi suhu air pada kadar 21 Celsius.

    Di samping itu terdapat juga beberapa orang remaja yang kelihatan cukup ceria untuk melakukan aktiviti jet ski di sungai tersebut.

    “Saya telah mendengar pelbagi kisah yang menyatakan bahawa air sungai di sini berada dalam keadaan tercemar namun hakikatnya berenang di kawasan sungai ini memang merupakan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan,” jelas Johnson. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda