Sungai Mekong di ambang bahaya

BANGKOK – Lembangan Sungai Mekong mengalami perubahan warna kepada biru baru-baru yang membingungkan para pelancong namun perubahan warna akuamarin ini menunjukkan permasalahan yang terjadi di empangan hulu sungai, kata pakar di Thailand.

Lazimnya sungai ini berwarna coklat kekuningan disebabkan sedimen yang dibawa dari hulu sungai. Tetapi baru-baru ini air sungai ini telah berubah warna menjadi biru kehijauan akibat pantulan cahaya dari langit. Hal ini menyebabkan tahap air menjadi rendah dan mendedahkan tebing sungai sehingga membolehkan para pelancong berdiri di tengah-tengah sungai.

Paras air rendah ini menjejaskan para nelayan dan petani, namun para pakar berpendapat tahap air rendah ini juga akan menimbulkan banyak lagi impak besar lain antaranya hakisan tebing dan dasar sungai.

Pakar-pakar dan penduduk yang tinggal berdekatan sungai tersebut mengesyaki perubahan ini berpunca daripada pemasangan hidroelektrik di empangan hulu sungai itu di Laos pada Oktober lalu.

Lebih 70 juta orang bergantung kepada Sungai Mekong ini untuk penggunaan sumber air, makanan, perdagangan, pengairan dan saliran serta pengangkutan. Para pengkritik mengakui projek-projek pembangunan berskala besar seperti projek empangan Xayaburi ini amat membahayakan ekologi di lembangan tersebut.

Empangan tersebut telah menghalang sedimen untuk mengalir ke hilir menyebabkan air sungai tersebut menjadi jernih, kata ketua pejabat perikanan di daerah Bueng Khong Long, Pravit Kanthaduang di wilayah Buen Kan. Kekurangan sedimen boleh mengancam keseimbangan ekologi mengakibatkan kurangnya nutrisi untuk tumbuh-tumbuhan dan ikan di sungai, tambahnya.

Keadaan Sungai Mekong kini. – AP
Pelancong menyaksikan perubahan di Sungai Mekong yang semakin mengancam kehidupan di setiap alirannya. – AP
Paras air yang mula merosot teruk di tebing Sungai Mekong. – AFP

Sedimen yang sedikit, berserta arus air yang deras, fenomena ini dinamakan ‘Hungry water,’ kata pengkaji Ekologi Sungai Mekong di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Mahasarakhm Thailand, Chainarong Setthachau.

“Aliran yang mempunyai sedimen yang kurang, menyebabkan pelepasan arus yang kuat ke tebing sungai, ini dipanggil ‘Hungry Water’ yang menyebabkan terhakisnya tebing dan dasar sungai, merosakkan sistem pertumbuhan pokok dan merosakkan sistem struktur sungai,” kata Chainarong.

Pemaju empangan enggan bertanggungjawab tentang paras air yang rendah disebabkan menjalankan percubaannya sejak Mac lalu. Pada bulan Oktober yang lalu, syarikat Xayaburi Power Co. Ltd. berkata projek itu telah menelan belanja 19.9 bilion baht untuk mengurangkan impak negatif pada persekitaran, termasuk bangunan untuk aliran sedimen dan kemudahan laluan ikan-ikan yang ada. Perancangan ini menelan belanja AS$4.7 bilion.

Salah seorang nelayan daripada perkampungan Ta Mui di Wilayah Ubon Ratchathani, Daeng Pongpim masih percaya perubahan ekologi sungai ini adalah tanggungjawab pihak syarikat tersebut.

“Saya sudah berusia 67 tahun dan tidak pernah melihat perkara sebegini sebelumnya, apa yang membimbangkan saya ialah tentang paras air yang rendah. Sekarang sudah pra-musim sejuk, pada kebiasaannya paras air tidak serendah ini. Saya tidak dapat bayangkan kesusahan yang akan melanda kami pada musim kering dalam bulan Mac dan April nanti.”

Chaiwat Prakun yang tinggal 200 kilometer daripada aliran empangan tersebut berkata, dia telah meninggalkan peralatan memancingnya untuk beberapa tahun kebelakangan disebabkan kemerosotan jumlah ikan yang ada untuk ditangkap. Dia kini membuat perniagaan pelancongan.

“Sungai Mekong kini sudah mula tenat, masyarakat yang bergantung kepada sungai ini sudah dapat merasakannya selama beberapa tahun kebelakangan ini. Dan kesan itu tidaklah seteruk impak dari Xayaburi. Kami masih tidak tahu bagaimana kami akan hidup dengan keadaan ekologi sungai ini pada masa akan datang,” katanya. – AP