Sungai Melaka bertukar hitam, berbau busuk

MELAKA, 20 Mei – Pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku terutama di Taman Rempah di sini sejak semalam, kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong.

Low, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana, berkata pencemaran itu dikesan bermula dari Empangan Batu Hampar di Batu Berendam di sini dan berikutan itu, arahan penutupan empangan berkenaan dilakukan dengan segera bagi mengelak situasi menjadi lebih buruk.

“Kita bimbang pencemaran seumpama ini menjadi lebih teruk dan tidak mahu kejadian pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini turut berlaku di sini.

“Kita telah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan untuk segera bertindak dan mengambil sampel air sungai tercemar serta bangkai ikan untuk dianalisis bagi mengetahui punca pencemaran dan tahap keseriusannya,” katanya pada sidang media di Jeti Melaka River Cruise di Taman Rempah di sini, hari ini. – Bernama