Sungai Siberia dicemari tumpahan minyak

MOSCOW, 3 JUN – Pihak berkuasa Rusia telah mengisytiharkan keadaan darurat selepas lebih 20,000 tan bahan api diesel meresapi sebatang sungai Siberia justeru mencetuskan kebimbangan daripada pencinta alam sekitar.

Kumpulan alam sekitar Tabung Hidupan Liar Dunia semalam memuji usaha penduduk tempatan untuk mengawal tumpahan dengan empangan terapung, menyekat bahan pencemar berbahaya daripada mengalir masuk ke sebuah tasik berhampiran bandar Artik Norilsk.

Gambar satelit yang disiarkan oleh WWF menunjukkan tumpahan merah yang besar di sungai Ambarnaya dan penduduk tempatan menyiarkan video di media sosial menunjukkan air yang tercemar. Tumpahan tersebut berpunca daripada kebocoran tangki bahan api diesel pada minggu lalu di sebuah loji tenaga termal yang terletak beberapa kilometer dari barat Norilsk.

Syarikat perlombongan Rusia Norilsk Nickel, yang memiliki loji itu, berkata tangki rosak apabila tiang yang ‘menyokongnya selama 30 tahun tanpa masalah’ mula tenggelam.

Norilsk dibina di atas permafros dan infrastrukturnya diancam oleh pencairan ais berpunca daripada perubahan iklim. – AFP