Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Dalam usaha menyuntik, mendidik dan memupuk minat pelajar bertutur dalam Bahasa Arab, Jabatan Pengajian Islam telah merasmikan Program Hayya Bilarabiah bagi sekolah-sekolah Arab yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAS), Kampung Katok, hari ini.
Program yang berlangsung sehari itu telah dilancarkan oleh Pemangku Penolong Pengarah Pengajian Islam (Profesional), Jabatan Pengajian Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Norjarah binti Haji Luidin.
Ketua Unit Sekolah Arab Bahagian Kokurikulum, Hajah Hamidah binti Haji Awang Salleh dalam ucapannya berkata, “Program Hayya Bilarabiah bagi sekolah-sekolah Arab ini adalah sebahagian daripada projek Jabatan Pengajian Islam di bawah penyelarasan bahagian kokurikulum untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan pelajar dalam Bahasa Arab.”
Beliau seterusnya menambah, program ini berperanan membentuk keyakinan pelajar di samping melibatkan pelajar secara menyeluruh dan komitmen tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan bagi membolehkan pelajar menimba pengalaman.


Di samping itu, selain meningkatkan keterlibatan guru-guru mata pelajaran Bahasa Arab khususnya dalam aktiviti kokurikulum, ia juga sebagai pendorong kepada guru dan pelajar untuk berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Arab dalam ‘baiah arabiah’ yang diwujudkan melalui aktiviti dalam program ini.
“Program ini dilaksanakan sehingga September 2018 di semua sekolah-sekolah Arab mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya.
Antara aktiviti dan pameran dalam program ini termasuk Peraduan Masrahiah Arabiah, Peraduan Kalam Jamaie, aktiviti suasana di lapangan terbang, hospital, kafe, beberapa permainan lain dan sebagainya.
Majlis ini diselenggarakan oleh Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam dengan kerjasama SUAMPRIPAS.






















