Suntik semangat atlet renang

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka Brunei dan Masters ke-8 yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Berangkat menyertai kejohanan ialah anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang mewakili Kelab Renang Peak Performance, bersaing dalam acara Kuak Kupu-kupu 50m Lelaki 6 Tahun ke atas, berjaya mencapai catatan masa 42.72 saat dan berada di kedudukan keempat. Manakala, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang juga mewakili Kelab Renang Peak Performance menyertai Kategori Perempuan 6 tahun ke atas dalam acara Kuak Kupu-kupu 50 meter dan berjaya mencatatkan masa 55.75 saat.

Seramai 139 orang atlet renang dari sembilan buah kelab menyertai kejohanan tahunan anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, KKBS yang berlangsung selama tiga hari sehingga 15 September ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka Brunei & Masters ke-8, yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
ATAS & BAWAH : YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah ketika bersaing dalam acara renang, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir