Suntik semangat masyarakat tingkat taraf hidup

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan supaya semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayati secara berkesan melalui taklimat, sesi dialog dan lawatan.

PMB bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup rakyat dan penduduk di negara ini serta untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat bagi mempertingkatkan taraf hidup me-reka dengan memberi pengetahuan dan maklumat yang relevan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim selaku penasihat PMB dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian PMB bagi Belia dan Beliawanis Masjid-masjid Daerah Brunei dan Muara kali Pertama 2021 yang berlangsung di Auditorium Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Haji Shahrul Jeffri berkata bahawa Jabatan Penerangan akan sentiasa berusaha untuk menambah baik program-program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ke arah pemberigaan maklumat di mana penambahbaikan itu adalah untuk memastikan maklumat disebarkan seluas dan semaksimum yang mungkin.

Yang Berhormat Awang Iswandy ketika hadir pada Majlis Perasmian PMB yang berlangsung di Auditorium Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, kelmarin.
Sesi taklimat mengenai wawasan negara 2035 yang telah disampaikan oleh wakil Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau seterusnya berkata bahawa belia merupakan golongan besar di negara ini dan merekalah yang akan menjadi generasi penerus warisan bangsa, oleh itu, PMB kali ini, dikhususkan untuk belia dan beliawanis masjid-masjid di Daerah Brunei dan Muara. Program itu diadakan dalam bentuk taklimat dan lawatan ke sektor awam serta sektor swasta di mana Haji Shahrul Jeffri menyeru supaya para peserta program memanfaatkan dan menggunakan peluang itu untuk menimba sebanyak ilmu yang boleh di samping bertukar-tukar pengalaman dan pandangan demi kemajuan diri sendiri.

“Sesuai dengan peranannya, Jabatan Penerangan selaku telinga, mata dan lidah kerajaan, akan sentiasa berusaha dalam memberigakan apa jua maklumat yang sahih dan betul termasuk inisiatif-inisiatif kerajaan dan kemajuan-kemajuan yang dicapai dalam sektor awam dan sektor swasta kepada setiap lapisan masyarakat di negara yang kita cintai ini melalui program-program yang dirancang dengan kerjasama rakan-rakan strategik,” ujarnya.

Program selama dua hari itu dimulakan dengan taklimat mengenai wawasan negara 2035 daripada Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri yang mengongsi beberapa inisiatif dan perkembangan terkini yang dilaksanakan ke arah menuju wawasan negara dalam bidang pendidikan, sumber tenaga manusia, sektor kesihatan, infrastruktur dan peningkatan keberkesanan dan produktiviti sektor awam. Program diteruskan dengan taklimat mengenai Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang disampaikan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang antara lain menyentuh mengenai peluang pekerjaan dan meningkatkan sara diri masyarakat melalui aktiviti perekonomian yang berdaya maju yang diusahakan secara berterusan serta meningkatkan inovasi dan kreativiti masyarakat melalui penghasilan produk atau perkhidmatan yang unik sebagai identiti sesuatu kawasan.

Sesi taklimat diakhiri dengan taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam daripada Unit Kenegaraan Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan yang menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah dalam sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara.Pada sebelah petang, para peserta program berpeluang mengunjungi Jabatan Adat Istiadat Negara dan mendengar taklimat bertajuk ‘Terasul dan Bahasa Pengganti Diri’ yang disampaikan oleh Pegawai Adat Istiadat, Awangku Mohd Noor Hamaddi bin Pengiran Ahmad.

Ahli-ahli rombongan turut mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei untuk menyaksikan dengan lebih dekat pembuatan pelbagai produk kraf tangan seperti kain tenunan, perak, keris, anyaman, songkok, batik dan lain-lain produk kraf tangan. Para peserta diberikan taklimat ringkas dalam lawatan berkenaan oleh Pegawai Perhubungan, Hajah Zurina binti Abdullah.