Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Dengan hasrat untuk memberikan motivasi kepada pelajar sekolah agar berusaha melanjutkan pengajian mereka, Unit Perhubungan Awam, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) menyumbangkan sebanyak 24 buah majalah Maktab Duli kepada Perpustakaan Sekolah Menengah Awang Semaun pada 11 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Maktab Duli, di sini, empat edisi majalah berkenaan telah disumbangkan kepada perpustakaan sekolah berkenaan.
Majalah berkenaan telah di-sampaikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Maktab Duli, Awang Ahmadi Shadi bin Azri Haneef bagi mewakili Unit Perhubungan Awam, kepada Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Awang Semaun, Hajah Marazibah binti Haji Mat Yassin.
Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan berkenaan ialah tiga orang pensyarah dari Maktab Duli iaitu Dayang Norhayati binti Haji Timbang, Pengiran Mohd Aji Noor Haslizal bin Pengiran Aliuddin dan Goh Boon Tin.
Awang Ahmadi Shadi dipetik menyatakan bahawa salah satu matlamat utama sumbangan berkenaan adalah untuk memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah supaya berusaha dengan gigih bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka supaya mereka dapat melanjutkan pengajian ke pusat tingkatan enam.
