Suntik semangat pelajar tahun 6

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seramai 25 orang pelajar Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) telah menghadiri Program Ulang Kaji Bersama Guru (PUBG) yang berlangsung di Hotel Jeruton, Jerudong, hari ini.

Program anjuran Teach Me Guru itu antara lain bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada pelajar PSR yang akan menduduki peperiksaan PSR tahun ini di samping membantu pelajar dengan mengajar teknik menjawab kertas soalan dan mengimbas semula topik pilihan yang sering keluar semasa peperiksaan.

Selain itu juga, bagi meningkatkan kemahiran pelajar dalam menjawab kertas peperiksaan yang bakal ditempuhi serta mewujudkan hubungan erat dan suasana mahabbah dengan guru dan kawan-kawan.

Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor, Awang Muhammad Hilmy bin Haji Ahmad telah hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis diserikan dengan ceramah khas oleh penceramah bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan mahasiswa PHD dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Yadiy bin Mat Yassin dan penceramah motivasi yang tidak asing lagi, Haji Ali Yusri bin Haji Mohd Ghafor.

Antara pelajar yang mengikuti PUBG di Hotel Jeruton, kelmarin.