Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Seramai 193 penuntut Tahun 10 Fast Track dan Tahun 11 Normal Track Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), hari ini telah diraikan dalam Majlis Hafflut Takharruj Pelajar Cemerlang Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei dan Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat ‘O’ bagi tahun 2017.
Majlis penyampaian sijil kepada pelajar yang diraikan di Dewan Serba Guna SUAMPRIPAHS itu disempurnakan oleh Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad pada majlis itu berkata, majlis ini diadakan bagi menyuntik semangat pelajar bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna pada masa hadapan di samping sebagai penghargaan dan motivasi atas kejayaan mereka.
Beliau seterusnya mengingatkan para pelajar bahawa usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan, bantuan dan bimbingan guru-guru sejak hari pertama masuk ke sekolah Arab.
Beliau seterusnya berharap supaya pelajar rajin, kreatif dan inovatif untuk mengharumkan nama diri sendiri, ibu bapa, guru-guru dan juga nama sekolah Arab.



Katanya lagi, “Kejayaan dan pengalaman di sekolah ini juga diharap dapat menjadi modal untuk menempuh alam pendidikan yang lebih tinggi di samping mengamalkan nilai positif dan perkara baik yang dipelajari di sekolah untuk terus diamalkan pada masa akan datang.”
Majlis itu diteruskan dengan penyampaian hadiah 100 peratus kehadiran kepada 198 pelajar, penyampaian hadiah penuntut terbaik dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (STUB) kepada 18 pelajar.
Selain itu dua orang penuntut terbaik dalam peperiksaan kelayakan BCGCE Peringkat ‘O’, seorang pelajar menerima hadiah penuntut cemerlang keseluruhan dalam akademik dan seorang penuntut cemerlang dalam kokurikulum turut menerima hadiah pada majlis itu.
Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk meraikan penuntut yang telah berjaya menamatkan pengajian di sekolah ini sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat pra universiti atau institusi pengajian lain.