Suntik semangat raih kejayaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sukan SEA dijadikan sebagai platform utama untuk menilai kemampuan atlet-atlet negara untuk dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Olimpik.

Dalam usaha ke arah meletakkan sukan-sukan berprestasi tinggi ke landasan yang kukuh, pihak-pihak yang berwajib atau berkepentingan perlu menyediakan program pembangunan sukan yang komprehensif, jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Program perlu dilaksanakan dengan berkesan serta berterusan, kemajuan dipantau dan program dibaikpulih atau disusun semula dari semasa ke semasa.”

Seruan itu dibuat dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-30, Filipina yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara seterusnya bersabda bahawa penyerahan bendera negara kepada kontinjen negara ke Sukan SEA ke-30 di Filipina mempunyai signifikannya yang tersendiri iaitu ia merupakan satu amanah, satu harapan tinggi negara dan rakyat yang diletakkan kepada kontinjen negara untuk membawa dan mengibarkan bendera itu dengan megah dan bergaya ke pesta sukan serantau yang berprestij itu.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan bersabda di Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-30, Filipina yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

“Tanamkan keazaman untuk mengikut jejak langkah olahragawan dan olahragawati negara yang pernah mencipta nama serta mengharumkan nama negara di persada sukan serantau dan antarabangsa.”

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara turut bersabda ia adalah satu cabaran, satu sumber aspirasi kepada kontinjen negara khususnya para atlet, dengan bantuan jurulatih serta pengurus yang diberi kepercayaan untuk berada di medan perlawanan dengan semangat juang yang tinggi, tangkas dan berani, tidak cepat putus asa dan menyerah kalah, malah tetap terus berazam untuk mencipta kejayaan sehinggalah pertandingan berakhir dan keputusan diumumkan.

“Itulah antara ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh atlet elit sejati untuk mencipta kejayaan dan sekali gus mengharumkan nama negara,” sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara lagi, “Teruskan berusaha dan jangan putus asa. Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam akan tetap memainkan peranannya dan sentiasa memberikan sokongan dalam penglibatan atlet di peringkat serantau dan antarabangsa.”

Dalam konteks itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara percaya para atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai urus setia kontinjen telah membuat persediaan yang rapi dan mencukupi pada memastikan penyertaan negara ke Sukan SEA ke-30 akan lebih berjaya dari beberapa edisi yang terdahulu.

“Saya juga difahamkan atlet-atlet yang terpilih telah pun menjalani latihan intensif dan latihan sesi pemanasan badan di luar negara dengan bertanding bersama atlet-atlet serantau dan antarabangsa yang lebih berpengalaman.”

“Saya penuh berharap, peluang yang telah diberikan ini akan dapat digunakan sebaiknya dan sekali gus mampu mempamerkan prestasi yang maksimum di gelanggang Sukan SEA nanti.”

Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda, “Di samping itu, sukacita jua saya mengingatkan supaya atlet semua, akan sentiasa menjaga disiplin masing-masing, dan menjauhi bahan-bahan terlarang, serta mematuhi, akta dan peraturan ‘Anti-Doping’ yang dikuatkuasakan oleh World Anti-Doping Agency (WADA).”