Suntikan cita rasa asia, barat tampil keistimewaan

Oleh Nurdiyanah R.

Berbicara tentang kulinari, ia adalah suatu seni yang membabitkan bidang masakan, penyediaan makanan, pastri atau kek dan banyak lagi yang berkaitan dengan aktiviti masakan.

Dalam bidang gastronomi, sumber daripada buah kelapa muda mahu pun kelapa tua seperti air, isi dan santan dapat dijadikan bahan-bahan asas dalam menciptakan keunikan kulinari yang luar biasa.

“Seni kulinari ini sememangnya bagaikan satu trend yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Itulah keindahan yang perlu diterokai oleh insan-insan yang menceburi bidang ini.”

“Oleh yang demikian, untuk menghasilkan sesuatu hidangan perlu ada ilmu kulinari yang harus diterokai lebih-lebih dalam menghasilkan hidangan isitmewa dengan sentuhan kreativiti sehingga mampu mencetus pembaharuan atau inovasi yang begitu luar biasa dan dapat memukau cita rasa,” ujar Cef Haji Hasizul Bahrie bin Ibrahim selaku Cook II di Restoran The Horizons Seafood, Royal Brunei Catering (RBC) ketika ditemui berhubung penyertaaannya dalam Minggu Gastronomi Brunei, baru-baru ini.

Tiga kombinasi elemen dari buah kelapa asli

Dengan menampilkan satu-satunya hidangan penutup atau pencuci mulut istimewa yang dikenali dengan Coconut Madness sememangnya bukan hanya indah dipandang bahkan hakikatnya ia juga memiliki rasa yang begitu enak.

Cef Haji Hasizul (kanan) selaku Cook II di Restoran The Horizons Seafood, Royal Brunei Catering (RBC) bersama Junior Sous Chef, restoran berkenaan, Dayang Farina ketika ditemui berhubung penyertaaan mereka dalam Minggu Gastronomi Brunei, baru-baru ini.
Dengan menampilkan satu-satunya hidangan penutup atau pencuci mulut istimewa yang dikenali dengan Coconut Madness sememangnya bukan hanya indah dipandang bahkan ia juga memiliki rasa yang begitu enak, lebih-lebih lagi dengan adanya kombinasi tiga jenis elemen resipi berasaskan isi dan air kelapa muda dalam satu hidangan istimewa berkenaan.

Menariknya, terdapat tiga jenis resepi berasaskan isi dan air kelapa muda telah dihasilkan dalam satu hidangan istimewa berkenaan. Dengan adanya hisiran isi kelapa parut segar yang dimasak menggunakan mesin pembakar (oven) dengan api yang rendah sehingga terhasilnya isi kelapa parut yang rangup atau lebih dikenali dengan nama Coconut Crush.

Di samping itu, isi kelapa dan susu krim serta gula diadun sebati dengan dibakar menggunakan api yang sederhana sehingga terciptanya seakan-akan biskut-biskut kelapa berbentuk kecil meninggi berwarna putih dengan tekstur yang rangup.

Manakala air dan isi kelapa muda pula menjadi bahan asas utama dengan adanya gabungan bahan susu krim dan keju dalam menghasilkan adunan kelapa bertekstur lembut ala karamel berbentuk bulat dan leper meninggi sehingga menghasilkan hidangan yang sedikit manis dan berkrim.

Hidangan penuh warna-warni ala asian dan barat

Cef Haji Hasizul yang telah bertugas di restoran berkenaan sejak tahun 2005 itu turut menjelaskan bahawa hidangan berkenaan sememangnya terinsipirasi dengan gabungan cita rasa Asia dan Barat di mana penggunaan buah kelapa banyak diaplikasi dengan masyarakat di negara-negara Asia manakala hidangannya pula ditampilkan mengikuti keindahan gaya kulinari ala Barat yang penuh warna-warni.

“Pastinya keenakan hidangan ini dapat dirasai dengan sedikit manis dan masam penuh berkrim serta penuh kesegaran, lebih-lebih lagi dengan adanya potongan-potongan kecil buah-buahan tropikal seperti dragonfruit, kiwi dan nenas. Begitu juga kerangupan honeycomb dengan diserikan pula dengan keaslian sos buah red berry,” jelas beliau dengan lebih terperinci yang memperolehi ilham terhasilnya hidangan istimewa berkenaan menerusi kajian di media sosial pada sebelumnya.

Sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat

Sehubungan dengan itu, Junior Sous Chef, Restoran The Horizons Seafood, RBC, Dayang Farina Afida binti Pehin Dato Paduka Kolonel (B) Haji Abd Jalil turut menyatakan dengan adanya cabaran kulinari dalam Minggu Gastronomi Brunei pada tahun ini, adalah menjadi harapan mereka untuk menyaksikan industri kulinari tanah air ini sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat di negara ini secara berterusan.

“Dalam pada itu, penglibatan para belia dan beliawanis dalam bidang ini juga dilihat semakin berani mengorak langkah secara positif dalam menceburi bidang ini yang sememangnya sesuatu yang dapat dibanggakan.

“Apa yang terpenting ialah menyemai segala sikap positif dan sentiasa menerima kritikan dengan hati yang terbuka serta menerokai ilmu dari semasa ke semasa itu perlu dititikberatkan apabila ingin menjadi insan bidang kulinari yang progresif dan berkaliber,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.