Suntikan dos pertama secara walk-in

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Dengan mengambil kira jumlah kehadiran orang ramai ke pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara yang semakin berkurangan, Kementerian Kesihatan akan membukakan pemberian suntikan dos pertama vaksin COVID-19 secara walk-in bermula esok (26 Oktober).

Pemberian suntikan dos pertama tersebut dibukakan bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan perkara berkenaan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 hendaklah membawa kad pengenalan pintar (IC) atau pasport, membawa kad Bru-HIMS (jika ada), membawa pen dan payung sendiri, serta air yang mencukupi, memakai pelitup muka pada setiap masa, memastikan penjarakan fizikal sepanjang masa dan mematuhi semua arahan yang diberikan oleh petugas-petugas di pusat vaksinasi.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa seramai 348,782 orang iaitu 81.1 peratus daripada jumlah penduduk negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan apabila seramai 630 orang lagi menerima suntikan kelmarin.

“Manakala, 243,831 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 56.7 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah beliau.

Kini, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 592,613 jumlah pemberian dos pertama dan dos kedua, sejak ia dimulakan pada 3 April 2021.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi iaitu sebanyak 377,752 suntikan, diikuti Daerah Belait sebanyak 76,514 suntikan, manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 70,003 suntikan dan Daerah Temburong sebanyak 68,344 suntikan.