Suntikan semangat buat atlet

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Seramai 36 orang atlet, tujuh orang jurulatih, dua orang penolong jurulatih dan enam persatuan sukan kebangsaan telah menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) yang diadakan hari ini bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Keberangkatan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis penyampaian ganjaran kemenangan kepada atlet, jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penerima-penerima ini merupakan terdiri daripada atlet-atlet sukan polo, bola jaring, wushu, boling padang, pencak silat dan karate yang telah berjaya dan meraih pingat di Sukan Asia Tenggara Ke-30 (Sukan SEA) di Filipina tahun lalu. Sebanyak $76,100 jumlah ganjaran SPKS yang diterima dalam Kejohanan Sukan SEA ke-30 setelah memenangi dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa secara keseluruhan. Skim ganjaran kemenangan ini adalah seperti yang terkandung di dalam Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1991 untuk kemudahan insentif kepada atlet-atlet yang cemerlang.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar berkenan bergambar ramai bersama atlet, jurulatih, penolong jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan yang menerima ganjaran kemenangan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima ganjaran kemenangan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan YAM Pengiran Muda Bahar berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan SPKS di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen merupakan salah seorang penerima Skim Ganjaran Kemenangan SPKS setelah berkenan menyertai sukan polo berpasukan di Kejohanan Sukan SEA ke-30. Turut berkenan menyertai acara sukan itu ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong; YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Pengiran Muda Bahar.

Pasukan polo negara telah berjaya meraih satu pingat emas bagi acara Division B (0- 2) dan satu pingat gangsa bagi acara Division A (4-6).

Sementara itu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah turut berkenan menyertai Kejohanan Sukan SEA ke-30 tahun lalu dalam sukan bola jaring dan selaku ketua pasukan bola jaring negara, yang mana telah berjaya menduduki tempat ketiga bersama negara Thailand, sekaligus berjaya meraih pingat gangsa bagi Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan telah menyembahkan ganjaran SPKS kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan YAM Pengiran Muda Bahar.

Dalam sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi majlis, menyembahkan bahawa dengan penglibatan kerabat diraja jelas menunjukkan keprihatinan yang berterusan dalam perkembangan sukan di negara ini dan berjaya menyuntik semangat atlet negara untuk bangkit bersama memajukan sukan ke tahap yang lebih cemerlang ke arah merealisasikan aspirasi negara dalam peningkatan mutu pencapaian atlet-atlet dan kecemerlangan sukan.

“Ini jelas dapat dilihat dengan kutipan pingat yang berjaya dibawa pulang adalah sangat membanggakan dan melebihi daripada kutipan semasa Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun 2017 yang lalu, iaitu hanya membawa pulang sebanyak lima pingat perak dan sembilan pingat gangsa”, tambahnya dalam sembahnya.

Dalam usaha untuk memberikan dorongan kepada para atlet agar sentiasa terus menyumbangkan komitmen mereka kepada negara melalui pencapaian pingat di kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan SPKS.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa SPKS, Ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan dan Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu bapa.

Majlis seumpama ini diadakan adalah untuk memberikan galakkan kepada para atlet demi mencapai kejayaan para atlet menjalani latihan secara bersungguh-sungguh agar dapat mengekalkan prestasi yang lebih tinggi.

Skim ganjaran ini juga diberikan kepada jurulatih-jurulatih sukan kerana penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan yang dicapai.