Suntikan vaksin AZ Secara Sukarela Hari Ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca (AZ) akan dibukakan secara sukarela kepada orang ramai bermula esok bersamaan dengan 23 Ramadan 1442 Masihi.

Pengumuman tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan dalam Kenyataan Media Pembukaan Tempahan Vaksin COVID-19 Astrazeneca Secara Sukarela, hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, slot tambahan vaksin COVID-19, AstraZeneca tersebut adalah dibukakan kepada individu-individu yang berumur 18 tahun ke atas yang berhasrat untuk mendapatkan suntikan koronavirus secara sukarela.

Slot-slot tambahan itu adalah terhad dan hanya dibukakan bermula esok, 6 hingga 29 Mei ini sahaja.

Sepertimana yang telah dijelaskan semasa sidang media Kementerian Kesihatan sebelum ini, vaksin COVID-19 AstraZeneca boleh digunakan dalam kalangan orang yang berumur 18 tahun ke atas jika manfaat menggunakannya adalah melebihi risiko bagi individu tersebut dan individu tersebut membuat keputusan informed consent iaitu berdasarkan pemahaman tentang risiko dan faedah.

Gambar fail AFP menunjukkan vaksin AZ. Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kesihatan akan membukakan tempahan kepada mereka yang ingin mendapatkan vaksin AZ bermula 6 Mei ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca boleh datang sendiri ke pusat-pusat vaksinasi yang tersenarai di bawah selepas jam 10 pagi pada hari-hari pusat-pusat suntikan berkenaan dibuka.

Walau bagaimanapun, sesiapa yang ingin mempunyai confirmed slots dan mendapat keutamaan vaksinasi, mereka boleh membuat tempahan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca melalui aplikasi BruHealth bermula 8 Mei.

Pusat-pusat suntikan bagi vaksinasi COVID-19 ialah Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait; Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong.

Vaksinasi merupakan kaedah yang selamat dan berkesan untuk melindungi diri kita, keluarga kita, dan masyarakat daripada COVID-19.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan vaksin adalah sangat diutamakan dan langkah-langkah tertentu akan terus dilakukan untuk meminimumkan risiko berkaitan dengan penggunaan vaksin seperti kesan sampingan dan sebagainya.

Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (waktu pejabat) atau melalui aplikasi Bruhealth.