Suntikan vaksin dos pertama ditangguh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bermula esok, 1 September 2021 semua pusat vaksinasi di seluruh negara tidak akan dapat memberikan perkhidmatan suntikan vaksinasi COVID-19 kepada sesiapa yang telah membuat tempahan bagi dos pertama.

Penangguhan hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti itu adalah disebabkan bekalan vaksin COVID-19 telah berkurang dengan cepat dan mendapat permintaan di luar jangkaan.

Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato mengatakan Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin kerana pemberian vaksin COVID-19 bagi rakyat dan penduduk negara ini adalah satu keutamaan dan oleh itu, pihak kementerian memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul berikutan dengan perkara ini.

Walau bagaimanapun, dos pertama vaksin COVID-19 masih diberikan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya dan wanita mengandung sahaja di mana mereka boleh mendapatkan suntikan itu di mana-mana pusat suntikan secara walk-in.

Perkhidmatan vaksinasi bagi dos suntikan pertama akan ditangguhkan bermula 1 September. – Gambar fail Muiz Matdani

Beliau turut mengingatkan bahawa bekalan vaksin bagi golongan tersebut adalah terhad.

Sementara itu, pemberian suntikan vaksin adalah diteruskan bagi mereka yang telah membuat tempahan bagi dos kedua yang mana bekalan vaksin bagi mereka yang memerlukan dos kedua adalah mencukupi.

“Dalam pada itu, orang ramai yang telah membuat tempahan untuk mendapatkan dos pertama akan dijadualkan untuk menda-patkan slot tempahan baharu apabila bekalan vaksin baharu tiba kelak,” jelas Yang Berhormat Dato.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai untuk bersama-sama bekerjasama dan berusaha untuk mengawal penularan COVID-19 di negara ini dengan mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan. Terdahulu, Yang Berhormat Dato dalam kenyataannya juga memaklumkan bahawa Fasa Kedua Pusat Pengasingan COVID Mahad Islam Brunei di Tutong juga akan mula menerima pesakit Kategori 2 bermula esok.

“Fasiliti baharu ini boleh menampung sehingga 338 orang pesakit dan dikendalikan bersama oleh Kementerian Kesihatan dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,” katanya.