Suntikan vaksin tak batal puasa, swab disarankan pada waktu malam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Suntikan jenis ubat pada otot bagi vaksinasi pada bulan Ramadan tidak membatalkan puasa manakala ujian swab seboleh-bolehnya disarankan dilakukan pada malam hari.

Kementerian Kesihatan dalam makluman di laman web dan Instagramnya menyatakan, suntikan pada otot berdasarkan fatwa Yang Berhormat Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Siri Fatwa (13/95 dan 19/88) mengatakan menerima suntikan pada otot pada bulan suci Ramadan tidak membatalkan puasa.

Dalam pada itu, bagi ujian swab, disarankan pada waktu malam berbanding waktu siang pada bulan Ramadan, berdasarkan hukumnya tertakluk kepada bagaimana pengambilan swab itu dijalankan.

Dalam ruangan Irsyad Hukum Jabatan Mufti Kerajaan dipetik dari Pelita Brunei, sekiranya ujian swab dilakukan dalam kawasan khaisyum, maka swab tersebut tidak membatalkan puasa.

Walau bagaimanapun, sekiranya sampel dicalit dalam kawasan khaisyum, ia perlu dibuat secara berhati-hati, dikhuatiri perbuatan pengambilan sampel akan melebihi hujung khaisyum, sebagaimana langkah berhati-hati dalam perkara istinsyaq (salah satu sunnah wuduk iaitu memasukkan air ke dalam rongga hidung) bagi orang berpuasa.

Suntikan vaksin tidak membatalkan puasa pada bulan Ramadan ini namun swab atau calitan untuk sampel disarankan dibuat pada waktu malam.

Pengertian khaisyum menurut ulama, merupakan hujung hidung yang bersambung ke batin (dalam) mulut manakala para ahli bahasa mengertikannya sebagai antara bahagian hidung paling dalam, tulang nipis lagi lembut pada bahagian hidung paling dalam, di antara hidung dan otak; ada kalanya semua bahagian hidung dinamakan khaisyum.

Sehubungan itu, sekiranya pengambilan sampel (swab) dilakukan pada bulan Ramadan, maka sebagai irsyad dan langkah berhati-hati, adalah disarankan pengambilan sampel lebih teratur dilakukan pada malam hari bagi mengelak berlakunya perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu dengan sengaja memasukkan sesuatu ke dalam rongga.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berasingan, turut mengumumkan waktu operasi bagi ujian swab di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Talian Nasihat Kesihatan 148 semasa Ramadan bagi tahun ini ialah dari hari Isnin hingga hingga Khamis dan hari Sabtu pada jam 8 pagi hingga 2 petang, manakala pada hari Jumat beroperasi pada jam 8pagi hingga 12tengah hari, dan tutup semasa hari kelepasan awam bagi talian 148.

Manakala Perkhidmatan Ujian Swab di Kompleks Sukan Hospital RIPAS beroperasi setiap hari (kecuali hari Jumaat) pada jam 8 pagi hingga 2 petang, dan 7:30 malam hingga 1:30 pagi, manakala pada hari Jumaat dibukakan pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 7:30 malam hingga 1:30 pagi dan tutup semasa hari kelepasan awam.

Jika Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 dibukakan kepada orang awam kelak, waktu beroperasi bagi Talian Nasihat Kesihatan 148 akan dibukakan setiap hari pada jam 8 pagi hingga 5:30 petang dan 7:30 malam hingga 10 malam dan tutup semasa hari kelepasan awam.

Kementerian Kesihatan ingin memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dihadapi dari perubahan waktu operasi tersebut. Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 pada bila-bila masa.