Kumpulan popular dari Korea Selatan, Super Junior mengotakan janji untuk menghiburkan peminat setia mereka di Malaysia menerusi konsert jelajah dunia, Super Junior Super Show 9: Road.
Super Junior yang sepatutnya kembali ke Malaysia tiga tahun lalu menerusi siri jelajah Super Show 8: Infinite Time tidak menjadi kenyataan ekoran pandemik COVID yang melanda Malaysia pada Mac 2020.
Justeru, Super Junior Super Show 9: Road paling dinanti-nantikan peminat setia mereka yang digelar Elf selepas kumpulan yang pada asalnya dianggotai 12 ahli itu kali terakhir hadir ke Malaysia menerusi Super Show 5 pada November 2013.
Biarpun Super Junior kini bersaing dengan kumpulan baharu yang jauh lebih popular seperti BTS, Blackpink, TVXQ, EXO, ASTRO dan ramai lagi, namun mereka masih mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Buktinya, kira-kira 10,000 peminat hadir ke konsert yang dianjurkan Star Planet dan disokong Tourism Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil.
Malah rata-rata sudah mula berada di pekarangan stadium sejak pagi lagi biarpun pintu stadium hanya dibuka pada jam 3 petang.
Siri jelajah kali ini menampilkan lapan anggota Super Junior iaitu Siwon, Donghae, Kyunhyun, Leeteuk, Shindong, Ryeowook, Yesung dan Eunhyuk.
Menerusi konsert yang berlangsung selama tiga jam bermula 5 petang itu, mereka mempersembahkan 30 buah lagu pelbagai rentak daripada rancak, balada, mahupun ‘broadway’. – Agensi