Superb generasi ke-3 tampil moden

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Syarikat Maju Motor Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta jenama Skoda di Brunei, telah memperkenalkan generasi baharu Skoda Superb Ambition ke pasaran negara ini.

Skoda Superb dilancarkan bagi tontonan media hari ini yang diteruskan dengan pengenalan sejarah Skoda sejak ia ditubuhkan bermula dengan model sebuah basikal Skoda.

Menurut Maju Motors, Skoda Superb generasi ketiga ini lebih besar, tampak lebih elegan dan lebih mewah jika hendak dibandingkan dengan model sebelumnya.

Skoda Superb dibangunkan dengan modul yang sangat menarik dengan jarak roda 2,841mm (111.85 inci), tetapi pada masa yang sama bahagian hadapannya lebih pendek 61mm dari yang sebelumnya.

Model ini juga merupakan yang pertama menggunakan ciri-ciri moden dengan teknologi seperti Dynamic Chassis Control (DCC) dengan Driving Mode Select, penghawa dingin tiga-zon, but elektrik, bumbung panoramik elektrik, kamera undur, brek parkir elektrik dan sistem infotainmen serta sambungan dengan Wi-Fi hotspot.

Generasi ketiga Superb juga lebih ringan, manakala enjin baharunya mampu menjimatkan 30 peratus penggunaan bahan api dan lebih mesra alam.

Unit enjin petrol berkapasiti 2.0-liter turbocharge ditawarkan oleh Skoda sebagai pilihan.

Kesemuanya dipadankan dengan kotak gear dwi-klac manakala empat enjin turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda menggunakan klac Haldex 5.

Skoda Superb Ambition baharu yang diperkenalkan ke pasaran Brunei.
Ruang dalam Skoda Superb Ambition baharu.