Supermax bina kilang pertama di AS

KUALA LUMPUR, 17 DIS – Pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd  melabur sejumlah AS$350 juta bagi pembinaan fasa pertama kilang pengeluarannya di Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kemudahan berkeluasan 87 hektar di Brazoria County, Texas itu akan dilaksanakan oleh anak syarikatnya di negara itu, Master Healthcare Inc.

Kilang yang dibangunkan dalam empat fasa itu dijangka dapat mengeluarkan 400 juta sarung tangan sebulan dalam setiap fasa dengan pembinaan fasa pertama bermula pada suku pertama (S1) 2022 manakala pengeluarannya menjelang S4 2022. 

 “Selepas keempat-empat fasa itu selesai, jumlah kapasiti pengeluaran itu akan melonjak kepada 1.6 bilion sarung tangan sebulan atau 19.2 bilion sarung tangan setahun,” katanya.

Kemudahan fasa pertama itu meliputi ibu pejabat pengeluaran kumpulan bagi Amerika Utara, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat dagangan dan kemudahan pekerja yang sepenuhnya.

“Projek ini adalah kemudahan pengeluaran ke-18 Supermax di peringkat global dan pertama di AS,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Stanley Thai berkata kilang itu akan dilengkapkan dengan kemudahan bertaraf dunia seperti pembuatan kejuruteraan robotik automatik dengan Kecerdasan Buatan dan Revolusi Industri 4.0.

“Ia akan turut memberi penekanan ke atas aspek tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa air,” katanya. – Bernama