Surface bajet

MICROSOFT telah melancarkan produk terbaharu dalam barisan Surface iaitu tablet bajet dinamakan Surface Go, tablet Windows 10-inci yang kelihatan seperti Surface Pro tetapi pada harga yang lebih rendah.

Semua ciri pada Microsoft Surface Pro juga terdapat pada model bajet ini termasuk paparan PixelSense, tanda-tanda rekaan dan kickstand terbina dalam. Bagaimanapun, untuk mengekalkan kos yang rendah, tablet ini mempunyai komponen dalaman yang sederhana.

Seperti yang telah disebutkan, Surface Go menyerupai rekaan Surface dan ia nampaknya versi lebih kecil Surface Pro yang diperkenalkan pada 2014 dengan Surface Pro 3. Peranti ini juga dihasratkan untuk menyaingi Apple iPad.

Tablet ini menonjolkan paparan PixelSense (1800×1200 piksel) dengan nisbah bidang 3:2 dan didatangkan kamera depan yang dilengkapi teknologi pengecaman muka.

Di samping itu, Surface Go mempunyai port Surface Connector bagi pengecasan dan menghubungkannya kepada dok desktop. Mirosoft juga menyediakan port USB Type-C 3.1 yang boleh mengecas peranti atau memindah data ke peranti-peranti luaran.

Sementara sudutnya agak bulat berbanding Surface Pro, ia mempunyai rekaan magnesium yang sama pada peranti-peranti Surface. Syarikat itu mendakwa ia mempunyai jangka hayat bateri sehingga sembilan jam.

Bagi spesifikasinya, Surface Go dikuasakan pemproses Intel Pentium Gold 4415Y generasi ke-7 dan akan terdapat dalam dua varian, RAM 4GB dengan storan eMMC 64GB dan RAM 8GB dengan storan SSD 128GB, menurut laporan The Verge.

Ketua Pegawai Produk Microsoft, Panos Panay dalam satu post blog berkata, syarikat berkenaan akan mengeluarkan versi Wi-Fi terlebih dahulu manakala itu, model LTE akan datang lewat tahun ini.

Surface Go didatangkan terus dengan Windows 10 S, ini bermakna pengguna hanya akan boleh mengakses pelayar Edge dan aplikasi yang terdapat dalam Microsoft Store. Bagaimanapun, mereka boleh mengemas kini kepada Windows 10 Home secara percuma.

Serupa dengan Surface Pro, Surface Go didatangkan dengan penutup papan kekunci pilihan dan Surface Pen pilihan.