Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Suri rumah puas dapat kuasai cabaran kek 3D

    KUALA LUMPUR – Kecenderungannya terhadap cabaran mendorong suri rumah Nurul Nadia Aqilah Azri, 27, mengukir satu demi satu kek tiga dimensi atau 3D yang penghasilannya diakui ramai sebagai amat renyah dan memerlukan kesabaran, ketelitian serta daya kreativiti yang tinggi.

    Namun wanita ini tidak menduga kegemarannya itu yang hanya bermula untuk mencari pendapatan sampingan pada 2017, kini turut menjadi sumber pendapatan utama keluarga selepas suaminya Saifudin Mat Husin, 26, menghidap penyakit kronik dan tidak dapat melakukan kerja berat sejak 2018.

    Menggunakan jenama The Cake Village, Nurul Nadia Aqilah yang mesra dipanggil Dhia, memanfaatkan platform dalam talian untuk mempromosikan dan memasarkan kek buatannya, selain hebahan dari mulut ke mulut.

    “Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan tempahan bukan sahaja dari sekitar Pahang tetapi juga Selangor, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura,” kata wanita itu yang beroperasi dari rumahnya di Lepar Hilir, Gambang, Pahang.

    Bercerita lanjut kepada Bernama, Nurul Nadia berkata antara kek 3D paling mencabar pernah dihasilkannya ialah bentuk kucing dan ayam.

    Antara kek tiga dimensi pelbagai tema makanan yang dihasilkan oleh Nurul Nadia Aqilah Azri untuk pelanggannya iaitu kek KFC, McDonald’s, beruang, kek ikan dan sebagainya. – Bernama
    ATAS & BAWAH: Nurul Nadia Aqilah Azri juga berkebolehan menghasilkan kek bertemakan makanan antaranya durian, mi kari, laksa, nasi lemak dan sebagainya.

    “Kebiasaannya untuk menghasilkan kek seperti ini saya melihat contoh gambar yang sebenar. Di samping itu, saya juga membuat penyelidikan dan mencari idea menerusi media sosial atau bertanya pendapat orang terdekat bagi menghasilkan kek yang nampak macam ‘hidup’.

    “Lagi sukar bentuk yang perlu dihasilkan, lagi kuat keinginan saya untuk berjaya. Apabila berjaya, timbul satu kepuasan yang sukar digambarkan,” jelasnya.

    Hingga kini, ribuan kek biasa dan 3D telah dihasilkan oleh wanita ini dengan tema makanan antara bentuk 3D yang menjadi kegemaran pelanggan seperti ayam goreng KFC dan McDonald’s, air batu campur (ABC) serta mi kari dan laksa.

    Ibu sumber inspirasi

    Dibesarkan oleh ibu tunggal, Nurul Nadia Aqilah yang berasal dari Kuala Lumpur, berkata sekalipun mereka bukan orang senang, ibunya tidak pernah lupa meraikan sambutan hari jadi anak-anak.

    “Setiap kali menyambut hari lahir, emak Dhia selalu buatkan kami adik-beradik gembira dengan kek yang dihias sendiri olehnya. Adakala Dhia turut membantu dan dari situ timbul minat serta keinginan untuk mengenali dunia pembuatan kek dan pastri dengan lebih mendalam,” kongsinya.

    Sedar tidak mampu mempelajari ilmu pembuatan kek dan pastri di institusi formal, Nurul Nadia Aqilah menjadikan televisyen serta media sosial sebagai ‘guru’.

    “Saya sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dengan menonton rancangan kegemaran seperti ‘Cake Boss’ dan perkongsian di media sosial seperti YouTube, Instagram, Facebook dan lain-lain,” ujarnya yang menyifatkan pembuatan kek sebagai terapi untuk dirinya.

    “Biarpun memakan masa yang lama, hati akan rasa tenang dan puas bila saya dapat menghasilkan sesuatu yang saya suka,” tambah wanita itu lagi.

    Jelasnya lagi, dia juga suka mencabar diri dengan melakukan sesuatu yang baharu, sekali gus meraih pengalaman dan meningkatkan lagi kemahirannya dalam pembuatan kek 3D.

    Cabaran mental dan fizikal

    Bercerita tentang proses membuat kek 3D, Nurul Nadia Aqilah berkata bergantung pada bentuk, sesebuah kek boleh mengambil masa hingga tiga hari untuk siap.

    “Jika kek biasa selalunya dalam sehari boleh hasilkan dalam lapan hingga 10 biji, tetapi kek tiga dimensi pelbagai corak dan bentuk akan mengambil masa yang lama kerana pembuatannya memerlukan ketelitian, kehalusan dan kesabaran.

    “Selain itu, mental dan fizikal juga perlu kuat kerana membuat kek seperti ini memang amat mencabar, apatah lagi jika (bentuk itu dibuat) pertama kali,” jelasnya.

    Menurut Nurul Nadia Aqilah lagi, kek yang sudah dilepa perlu dibiarkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya enam jam bagi mengukuhkan struktur kek.

    “Untuk hiasan atas kek pula, sebagai contoh kek seperti mi kari, laksa, ABC atau buah sawit, masa yang diperuntukkan adalah enam hingga 10 jam,” tambahnya.

    Harga cecah ribuan ringgit

    Mengakui kek 3D memberikan pulangan lumayan, Nurul Nadia Aqilah berkata harga sebuah kek bergantung pada bentuk dan tahap kesukaran.

    “Harga kek adalah mengikut permintaan pelanggan. Kek biasa bermula dari RM55, bergantung pada jenis, saiz serta dekorasinya. Untuk kek berbentuk 3D pula, harga bermula dari RM300, juga bergantung pada dekorasi yang diminta pelanggan serta saiznya.

    “Harga kek 3D boleh mencecah ribuan ringgit jika permintaan pelanggan terlalu rumit, selain kos untuk membuat kek 3D juga agak tinggi termasuk nilai kesenian pembuat kek. Semakin rumit dan ‘real’ kek, maka makin tinggi harga,” katanya.

    Menurut wanita itu, sekalipun mahal, kek 3D mempunyai peminat tersendiri dan permintaan terhadap kek sedemikian tidak pernah putus.

    Katanya dia juga bernasib baik kerana suaminya suka memasak serta mempunyai sijil kulinari dan kini membantunya dalam pembuatan kek terbabit.

    “Suami menjadi tulang belakang saya. Dia tidak boleh bekerja seperti dulu dan kini membantu saya menguruskan perniagaan ini termasuk membakar kek serta membuat penghantaran,” jelasnya, menambah dia juga menjaga bapa mentua yang sakit tua.

    Bercerita lanjut, Nurul Nadia Aqilah berkata suaminya didiagnosis dengan penyakit kronik pada 2018 serta memerlukan pembedahan dengan kos ratusan ribu ringgit.

    “Jadi kami kerap berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Sejak suami sakit, saya cuba membuat kek-kek berbentuk 3D dengan pelbagai tema demi mencari pendapatan lebih. Namun, siapa sangka kini perniagaan ini jadi pendapatan utama keluarga,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...