Suruhanjaya British bantu kanak-kanak Autistik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Peranan SMARTER Brunei dalam memberikan sokongan kepada kanak-kanak dan golongan autistik serta keluarga mereka terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada badan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya British di Negara Brunei Darussalam menghulurkan sumbangan berjumlah, $7,170 kepada SMARTER Brunei dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pusat EDGE SMARTER Brunei, Mata-Mata, hari ini.

Sumbangan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay kepada Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah itu merupakan hasil kutipan yang dibuat bagi Larian Pantai Brunei-UK yang berlangsung pada November 2019.

TYT Richard Lindsay menyatakan perasaan gembira kerana dapat mengutip sumbangan untuk membantu kanak-kanak autistik iaitu satu kegiatan kebajikan yang amat dekat pada hatinya memandangkan beliau mempunyai seorang anak saudara yang autistik.

Beliau juga melahirkan perasaan gembira kerana dapat melakukan kegiatan kebajikan menerusi acara larian iaitu aktiviti yang amat digemarinya dan dapat menggunakan minatnya itu bukan sahaja untuk mengutip sumbangan tetapi meningkatkan kesedaran mengenai kanak-kanak
autistik.

Menerusi acara larian itu, TYT Richard Lindsay menjadi orang pertama yang berlari sepenuhnya melalui persisiran pantai Brunei sejauh 130 kilometer di mana larian yang diadakan pada November 2019 lalu, mengambil masa dua hari. Larian itu mendapat sokongan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan British Forces Brunei yang tidak ketinggalan untuk menyertai larian berkenaan bersama-sama TYT Richard Lindsay.

Larian itu juga menarik perhatian kepada masalah risiko pencemaran plastik dan ia turut mengumpul sumbangan bagi badan kebajikan, Plastic Oceans UK.

TYT Richard Lindsay menyampaikan sumbangan kepada Sharifah Adila Surya bagi pihak SMARTER Brunei.