Suruhanjaya M’sia adakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia Kuala Belait yang berlangsung di Restoran Hotel V Plaza, hari ini.

Hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri.

Pada majlis sambutan tersebut, TYT Dato’ Raja Reza menyampaikan ucapannya bahawa hubungan Malaysia dan Brunei Darussalam telah diperkukuhkan lagi setelah Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan dan hubungan diplomatik terjalin, di mana kedua-dua negara telah bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang antaranya perdagangan, pendidikan, kesihatan, pertahanan dan sebagainya demi manfaat rakat kedua-dua buah negara.

Beliau berkata perdagangan antara Malaysia dan Brunei Darussalam pada 2021 telah meningkat sebanyak 70.4 peratus kepada RM8.03 bilion berbanding RM4.71 bilion pada 2020.

“Malaysia juga kekal sebagai antara rakan dagang yang penting bagi Brunei Darussalam untuk sekian lamanya. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Brunei Darussalam juga amat memberangsangkan pada tahun ini,” ulasnya lagi.

Komuniti Malaysia di Brunei Darussalam dianggarkan melebihi 25,000 orang di mana sewajarnya dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam, tambah beliau.

Dalam ucapan beliau juga menitipkan harapan bahawa rakyat Malaysia akan dapat terus memberikan sumbangan di dalam bidang masing-masing ke arah mengukuhkan hubungan dua hala tersebut.

Antara tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia Kuala Belait yang berlangsung di Restoran Hotel V Plaza. – Gambar oleh Lyna Mohammad