YANGON, 4 Okt – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Myanmar hari ini berkata keamanan dan kestabilan jangka panjang perlu diberi penekanan dalam proses pemulihan di Rakhine, lapor agensi berita China Xinhua.
Kenyataan suruhanjaya itu, yang dikeluarkan selepas sepasukan anggotanya melawat daerah Maungtaw dan Buthidaung sepanjang minggu lepas, menggesa pengawasan ketat dilakukan ke atas pemulangan pelarian bagi memastikan pengganas ekstremis tidak terlibat atau dikecualikan.
Sepanjang perjalanan ke Rakhine, pasukan itu melawat kampung dan kem pelarian, menemu bual lebih 100 penduduk, bertemu pihak berkuasa tempatan serta kakitangan keselamatan.
Pasukan itu mendapati kumpulan pengganas Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) telah merekrut golongan belia di kawasan terbabit, selain memaksa dan melatih mereka dalam aktiviti pengganas.
Suruhanjaya itu mencadangkan beberapa langkah keselamatan yang perlu diambil bagi memastikan keamanan dan ketenteraman; Ia turut mencadangkan beberapa langkah untuk kehidupan penduduk tempatan.
Pengganas ekstremis ARSA telah melancarkan beberapa serangan ke atas balai polis di Rakhine pada 25 Ogos yang menyebabkan ramai penduduk tersingkir dari beberapa kawasan di Maungtaw.
Bangladesh dan Myanmar pada Isnin bersetuju mewujudkan satu kumpulan kerja bersama tidak lama lagi bagi tujuan pemulangan pelarian yang memasuki Bangladesh. – Bernama