Tuesday, April 16, 2024
31.7 C
Brunei

    -

    Suruhanjaya tinggi British rai Hari Wanita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dengan hasrat untuk meraikan Hari Wanita Antarabangsa dan menyampaikan Sijil Anugerah Points of Light kepada Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menghoskan majlis minum petang di kediamannya pada 23 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, TYT John Virgoe dalam kata alu-aluannya menyatakan perasaan gembira dengan pengumuman wakil Negara Brunei Darussalam bagi Anugerah Points of Light iaitu sehari sebelum Hari Wanita Antarabangsa dan ia merupakan peluang yang terbaik untuk meraikan kedua-dua acara sambutan iaitu Hari Wanita Antarabangsa dan Anugerah Points of Light.

    Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British, Catherine Pochkhanava-Cleeve berkata, United Kingdom (UK) mempunyai reputasi yang kukuh dalam mempertahankan hak wanita dan perempuan di serata dunia di mana Hari Wanita Antarabangsa
    itu memberikan peluang bagi mereka untuk meraikan segala usaha yang telah dilaksanakan ke arah kesaksamaan jantina.

    “Ia juga merupakan satu peluang untuk mengenal pasti bidang-bidang yang kita perlu untuk terus berusaha,” tambahnya.

    Beliau turut berkongsi bahawa UK akan menerbitkan strategi baharu yang digelar 3 Es, yang menetapkan cita-cita mereka untuk mendidik perempuan, memperkasa wanita dan menghentikan keganasan (Educate girls, Empower women and End Violence).

    Majlis itu dihadiri oleh jemputan yang terdiri daripada wanita yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing di mana pada majlis itu, mereka diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan berbincang mengenai tema Hari Wanita Antarabangsa, #BreakTheBias.

    Pada majlis itu juga, TYT John Virgoe telah menyempurnakan penyampaian sijil Points for Light Komanwel kepada Dayang Lailatul Zubaidah di mana beliau telah diberikan penghormatan bagi mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menerima Anugerah Points of Light.

    Menurut kenyataan itu lagi, Ratu Elizabeth II, Ketua Komanwel, setelah berkenan untuk menganugerahkan Dayang Lailatul Zubaidah bagi mewakili Brunei, sebagai 216th Commonwealth Point of Light bagi menghargai perkhidmatan sukarelawan cemerlangnya dalam menyediakan sebuah platform komuniti bagi keluarga anak-anak yang mempunyai keperluan pendidikan khas.

    Points of Light merupakan satu penghormatan yang berprestij di mana ia dianugerahkan kepada sukarelawan individu yang telah membuat perubahan positif kepada komuniti
    mereka.

    TYT John Virgoe bergambar bersama Dayang Lailatul Zubaidah yang menerima sijil Anugerah Points of Light. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...