Suruhanjaya Tinggi Malaysia hargai pengorbanan petugas Hospital RIPAS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah terus dihargai dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam menyerahkan sumbangan berupa pek makan makan tengah hari bagi petugas-petugas di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Sumbangan pek makanan dan minuman berkenaan diserahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Hospital RIPAS, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad di hospital berkenaan.

TYT Dato’ Raja Reza dalam ucapan ringkasnya pada penyerahan sumbangan berkenaan menyatakan bahawa sumbangan adalah bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’, dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan mengambil inisiatif untuk mendekati para petugas barisan hadapan yang bekerja keras dalam mengekang wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Beliau menambah bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia menyumbangkan sebanyak 280 bungkus makanan tengah hari kepada petugas-petugas barisan hadapan di hospital tersebut.

“Sumbangan makanan ini adalah simbol penghargaan kepada usaha dan penat lelah petugas barisan hadapan dalam mendepani cabaran penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

“Bagi kami, para petugas barisan hadapan merupakan hero negara kerana merisikokan nyawa dan diri sendiri dalam berjuang untuk mengeluarkan Negara Brunei Darussalam daripada pandemik COVID-19 ini,” kata Tuan Yang Terutama.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa sumbangan itu dapat menyuntik semangat petugas-petugas di hospital berkenaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Saya berdoa agar Negara Brunei Darussalam akan segera bebas daripada wabak COVID-19 dan kita semua dapat hidup kembali normal seperti sebelumnya,” tambah beliau.

TYT Dato’ Raja Reza menyerahkan sumbangan berupa pek makan tengah hari kepada Awang Abdol Hazis di majlis penyerahan kelmarin.