Suruhanjaya tinggi Pakistan rai Hari Kemerdekaan ke-75

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Susulan situasi pandemik COVID-19 di dalam negara, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Brunei Darussalam telah meraikan Hari Kemerdekaan Pakistan ke-75 secara ringkas di suruhanjaya berkenaan, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini, majlis sambutan telah dimulakan dengan warga suruhanjaya berkenaan dan komuniti Pakistan membaca Surah Yasin dan Doa Selamat semasa solat Fardu Subuh untuk negara mereka.

Ini diikuti dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan di perkarangan suruhanjaya berkenaan di Berakas yang hanya dihadiri oleh kakitangan suruhanjaya tersebut.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq telah menyempurnakan upacara menaikkan bendera dan membacakan mesej presiden dan perdana menteri Pakistan, yang kemudian dihantar dalam kalangan masyarakat Pakistan dan rakan-rakan Pakistan di negara ini.

TYT Mejar Jeneral (B) Abdul Aziz Tariq memotong kek bersama kakitangan suruhanjaya tinggi. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Brunei Darussalam