Suspek curi barangan kemas berjaya dicekup

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Seorang lelaki mencurigakan berjaya ditahan di kawasan Pandan 4 oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dari Balai Polis Kuala Belait dan didapati berkaitan dengan satu kes jenayah curi.

Menurut kenyataan dikeluarkan PDB, penangkapan dibuat dalam operasi rondaan rutin yang dijalankan dan ketika pemeriksaan ke atas suspek, mereka menemui beberapa barangan seperti telefon bimbit, mata wang asing, barangan kemas dan lain-lain lagi yang tidak dapat dijelaskan suspek.

Lelaki tersebut disyaki mempunyai kaitan dengan aduan curi yang melibatkan barangan kemas pada 15 April lalu di sebuah kediaman di Pandan 2 Kuala Belait.

Siasatan mendapati telefon bimbit dan barangan lain ditemui bersamanya adalah milik pengadu dan kesemua barangan dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Suspek, Muhammad Suhaimi bin Sufri, 26, tidak bekerja dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 18 April di bawah satu pertuduhan di bawah Seksyen 380, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu curi dalam bangunan.

Tertuduh tidak mengaku bersalah dan pihak mahkamah memutuskan tertuduh direman di Penjara Maraburong bagi sebutan kes pada 2 Mei.

PDB mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berada di dalam rumah dan sentiasa memastikan pintu-pintu dan jendela-jendala rumah dalam keadaan berkunci bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Antara barangan yang ditemui dalam pemilikan suspek. – Gambar serahan PDB