Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan mencuri dan melakukan kerosakan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
Awangku Abdul Fadzri bin Pengiran Abdul Karim dituduh mencuri sejumlah kabel elektrik dari Barek Loji, Seria pada 19 Julai 2017 antara jam 4 dan 7:15 pagi.
Dia juga berdepan pertuduhan melakukan kerosakan pada harta benda milik Jabatan Kerja Raya apabila menarik dan menggunting kabel elektrik tersebut.
Kerosakan yang dilakukan tertuduh dianggarkan berharga $7,085. Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 3 Ogos untuk menentukan tarikh perbicaraan tertuduh.
Dakwaan terhadap tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.