Suspek dipenjara 11 bulan serang mangsa kerana enggan dijodohkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Seorang lelaki warganegara Malaysia dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan bermula hari ini di Penjara Maraburong atas kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Menakutkan Secara Jenayah.

    Zulkifli bin Ahmad, 37, ditahan oleh anggota Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) kerana dipercayai terlibat melakukan kekerasan secara jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke bahagian leher seorang mangsa di dalam sebuah rumah di kawasan Kampung Lambak Kiri, Daerah Brunei dan Muara.

    Siasatan awal pihak polis mendapati insiden tersebut berlaku pada 4 Mac 2020, di mana suspek telah datang ke rumah mangsa bertujuan untuk menemuinya.

    Semasa pertemuan tersebut, satu perselisihan faham telah berlaku di antara mangsa sehingga membuatkan suspek bertindak melulu dan mengamuk seraya mengacukan sebilah pisau ke leher mangsa.

    Kejadian tersebut berjaya diredakan dengan kehadiran tiga orang awam yang sedang berada di luar kawasan rumah ketika itu.

    Suspek berjaya ditahan dan dikawal dengan sebaiknya bagi mengelak daripada mencederakan dirinya ataupun orang lain sementara menunggu kehadiran pihak polis.

    Hasil siasatan, punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak membalas pesanan ringkas suspek dan disebabkan mangsa tidak setuju dijodohkan dengan suspek.

    Dalam pada itu, PDB mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai untuk tidak bertindak melulu serta mengambil tindakan mengikut perasaan dan emosi tanpa memikirkan akibat dan keburukannya.