Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Pihak pendakwaan sekali lagi membuat permohonan untuk dua suspek tempatan yang didakwa berhubung dengan kematian seorang lelaki tempatan terus ditahan reman selama dua minggu lagi bagi polis meneruskan penyiasatan.
Supariddin bin Haji Mat Jinin dan Haji Tuah bin Haji Tarip didakwa bersubahat dengan beberapa lagi atas tuduhan membunuh tanpa niat Haji Aziz bin Haji Johara berusia 44 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula membuat permohonan itu dengan memaklumkan mahkamah bahawa polis baru menerima sebahagian laporan daripada rakaman sistem televisyen litar tertutup di tempat kejadian dan juga laporan telefon bimbit milik tertuduh.
Supariddin diwakili Peguam Sheikh Noordin bin Sheikh Mohammad manakala Haji Tuah diwakili Peguam Leftenan Kolonel (B) Harif.
Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menetapkan 20 Februari untuk sebutan kes dan memerintahkan kedua-dua tertuduh terus ditahan reman di sel polis.
Dalam bilik mahkamah lain, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah turut membuat permohonan yang sama bagi Yusree bin Haji Ya’akub / Yakub yang berdepan dakwaan yang sama untuk terus ditahan reman di sel polis untuk siasatan lanjut.
Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan permohonan itu dan menetapkan 27 Februari untuk kes disebut semula. Tertuduh diwakili Peguam Ahmad Zakaria.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada awal pagi 12 Januari 2017.
Ketiga-tiga tertuduh berdepan hukuman penjara yang boleh dilanjut sehingga seumur hidup jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibaca bersama Seksyen 304 (1) (b) yang sama.