Suspek jalani pemeriksaan mental

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Wanita Vietnam yang dituduh membunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara menjalani pemeriksaan kesihatan mental hari ini, sehari selepas kecewa apabila permohonannya untuk dibebaskan ditolak di mahkamah Malaysia, menurut peguamnya.

Doan Thi Huong dibicarakan bagi pembunuhan Kim Jong Nam di lapangan terbang Kuala Lumpur 2017. Warga Indonesia yang dituduh bersamanya telah dibebaskan minggu ini selepas pihak pendakwa menggugurkan tuduhan bunuh ke atasnya, namun pihak berkuasa semalam enggan melakukan yang sama bagi Huong.

Dia yang berusia 30 tahun telah dibawa dari penjara ke hospital Kuala Lumpur dengan menaiki van diiringi beberapa buah kereta polis dan pegawai-pegawai lengkap bersenjata yang mengenakan ‘balaclavas’, menurut salah seorang pegawai yang meng-iringinya. Dia berada di hospital kira-kira sejam.

“Anak guam kami Doan dalam keadaan tertekan, dia telah dibawa ke hospital awam. Dia menjalani penilaian psikiatri,” peguamnya, Hisyam Poh the Peik memberitahu AFP.

“Marilah kita mendoakan kesihatannya dan pembebasannya segera.”

Semalam, suspek menangis teresak-esak di kandang pesalah dan terpaksa dibantu keluar dari mahkamah oleh dua orang anggota polis selepas pihak pendakwa mengumumkan peguam negara enggan menggugurkan tuduhan bunuh ke atasnya. Itu adalah perkembangan mengejutkan selepas defendan bersamanya, Siti Aisyah, warga Indonesia dibebaskan Isnin lalu dan telah terbang pulang ke tanah airnya.

Pihak berkuasa tidak memberikan sebarang sebab bagi penarikan balik dakwaan terhadap Aisyah, selepas usaha melobi yang digiatkan oleh Jakarta.

Kedua-dua wanita sentiasa menafikan pembunuhan itu, dengan menegaskan mereka telah ditipu oleh pengintip-pengintip Korea Utara hingga membunuh Kim dengan menyapu agen saraf pada mukanya dan percaya itu adalah olok-olok bagi rancangan realiti TV. – AFP