Suspek kes tikam di Glasgow ditembak mati

GLASGOW, 28 JUN – Polis Scotland semalam menembak mati suspek kes tikam membabitkan enam mangsa cedera di sebuah hotel, di sini, yang menempatkan pencari suaka.

Pihak polis menegaskan insiden itu tidak ditangani sebagai berkait keganasan, sekali gus menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

“Amat menyedihkan apabila ada yang menggunakan insiden ngeri ini untuk menyebarkan agenda mereka. “Glasgow tidak akan bertolak ansur dengan sebarang gejala kebencian yang memecahbelahkan,” kata Menteri Keadilan Scotland, Humza Yousaf, dalam kenyataan melalui Twitter.

Polis berkata seorang pegawai polis berusia 42 tahun yang cedera dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Lima lagi mangsa yang kesemuanya lelaki berusia 17, 18, 20, 38 dan 53 tahun pula dirawat di hospital. Kementerian Dalam Negeri Britain menggunakan hotel kosong di seluruh negara bagi menempatkan pencari suaka dan pelarian ketika pandemik COVID-19. – AFP

Jalan masih ditutup di tengah Glasgow pada 27 Jun 2020 berikutan insiden tikam di hotel Park Inn sehari sebelumnya. – AFP