Suspek pecah amanah ketahui nasib Rabu depan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Sembilan orang warga asing yang menghadapi dakwaan pecah amanah melibatkan minyak diesel milik Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) akan mengetahui nasib mereka pada 18 Januari di Mahkamah Majistret.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan tarikh sebutan hukuman itu terhadap Muhammad Ali selaku kapten kapal bersama kru-kru yang terdiri daripada warga Indonesia iaitu Sudarto, Afrizal Firdaus, Mochlis Sodikin, David Juliansen, Andhika Pramuditya, Nur Alam Syah, Novrian dan Ahram Alias.

Mereka yang merupakan pekerja Syarikat Wintermar iaitu sebuah syarikat pembekal perkhidmatan luar pesisir dari Indonesia mengaku bersalah atas tuduhan mengepam minyak keluar dari Kapal SMS Discovery ke dalam kapal lain.

SMS Discovery membekalkan perkhidmatan kapal pengangkutan kepada BSP.

Kesalahan dilakukan dalam dua kejadian berasingan antara 16 dan 17 November 2016 dan antara 7 dan 8 Disember 2016 di kawasan platform Champion 7. Mereka didakwa bersubahat melakukan pecah amanah melibatkan sebanyak 30,000 liter minyak diesel milik BSP yang bernilai $16,500.

Polis turut menemui RM71,335 dalam kapal tersebut di mana wang itu merupakan hasil daripada jualan minyak diesel.