Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Seorang wanita tempatan yang berdepan pertuduhan melakukan curi dan pecah masuk rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.
Siti Naqiah binti Abdullah, 25, didakwa melakukan curi bersama rakan sejenayahnya di sebuah rumah di Lorong Tiga Selatan, Seria sekitar 5 dan 6 Januari 2017.
Dia juga berdepan tuduhan memecah masuk sebuah rumah di Perumahan BSP, Seria pada 6 Mac 2017.
Hakim Dayangku Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menetapkan 25 April untuk tarikh perbicaraan dan melanjutkan ikat jamin tertuduh.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.