CARACAS, 16 Jan – Beberapa orang termasuk dua orang polis terbunuh dalam operasi untuk menangkap juruterbang helikopter yang melakukan pengeboman ke atas Mahkamah Tinggi Venezuela semasa bantahan anti kerajaan tahun lepas, menurut kementerian dalam negeri semalam.
Menurut kenyataan kementerian, ahli kumpulan pengganas telah terkorban dalam pertempuran bersenjata dan lima orang telah ditangkap tetapi belum ada kenyataan adakah juruterbang Oscar Perez antara yang terkorban atau yang ditangkap.
Enam orang polis tercedera, Presiden Nicolas Maduro memberitahu kepada pengubal undang-undang.
Pengganas merancang untuk meletakkan bom kereta di luar kedutaan ‘negara berprestij dan tercinta ini,’ kata Maduro.
Laporan memberitahu Perez dan sekutunya bersembunyi dalam rumah selama beberapa jam 25 kilometer barat laut Caracas semasa serangan itu.
Perez telah mendedahkan rakaman video di Instagram di mana ia berkata pihak berkuasa cuba untuk membunuhnya dan orangnya walaupun mereka mahu menyerah diri.
Laporan media berkata Perez terbunuh dalam serangan itu.
Semasa bantahan jalanan menentang Maduro Jun lepas, Perez dan rakan yang tidak dikenali terbang ke Caracas dengan menggunakan helikopter polis dan menggugurkan empat grenad yang menyasarkan ke arah Mahkamah Tertinggi sebelum melakukan tembakan secara rambang ke kementerian dalam negeri namun tidak ada yang terkorban.
Perez telah diburu sejak pihak berkuasa Venezuela mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol selepas menuduhnya melakukan serangan pengganas.
Bekas pegawai polis elit dan pelakon berusia 36 tahun itu secara berterusan mencabar kerajaan semasa bersembunyi dan berkata, dia menentang Maduro dan diktator-narko. – AFP