Suspek rempuhan perarakan hadapi lima pertuduhan

CHICAGO, 23 NOV – Seorang lelaki berusia 39 tahun di Milwaukee, sebuah bandar di negeri Wisconsin AS, berdepan lima pertuduhan percubaan membunuh dengan sengaja selepas memandu merempuh perarakan percutian yang diadakan di Waukesha, Wisconsin pada petang Ahad, mengorbankan lima orang dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Lima yang terbunuh berusia antara 52 hingga 81 tahun, dengan 18 kanak-kanak, berumur antara tiga hingga 16 tahun mengalami kecederaan, lapor Xinhua memetik ketua polis Waukesha Dan Thompson pada sidang media yang diadakan petang Isnin.

Menurut pegawai itu, 10 daripada kanak-kanak itu berada di unit rawatan rapi dan enam yang lain dalam keadaan kritikal. Polis berkata, siasatan awal tidak menemui bukti bahawa kejadian pada Ahad itu berkait dengan serangan pengganas.

Suspek Darrell Brooks mempunyai sejarah perlakuan jenayah dan dibebaskan dengan ikat jamin AS$1,000 sebelumnya kerana didakwa melanggar ibu kepada anaknya di tempat letak kereta stesen minyak Milwaukee. – Bernama