Suspek rompakan dihadapkan ke mahkamah

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 25 JUN – Suspek kes rompak yang dilaporkan berlaku pada 29 Mei lalu telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu rompak yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Suspek yang merupakan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 35 tahun kini ditahan reman di Penjara Jerudong, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis Awang Handrie bin Haji Amin memaklumkan semasa sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan, Balai Polis Kuala Belait pada 30 Mei lalu telah menerima laporan mengenai kes kejadian rompak yang berlaku pada 29 Mei kira-kira pukul 4:30 petang di tempat perhentian bas kawasan Panaga, di mana mangsa warga asing telah menumpang kenderaan suspek di mana suspek telah mengancam mangsa menggunakan pisau.

Hasil siasatan kes tersebut telah membawa kepada penangkapan suspek pada 22 Jun lalu.

Dalam pada itu, Penguasa Polis Awang Handrie turut memaklumkan bahawa hasil maklumat dan risikan yang telah dijalankan, Daerah Polis Belait telah berhasil menahan tiga orang suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian empat digit di Kampung Sungai Liang Belait.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun, seorang perempuan penduduk tetap berumur 58 tahun dan seorang lelaki rakyat tempatan berumur 63 tahun yang dipercayai terlibat menjalankan kegiatan mengutip slip taruhan daripada pembeli loteri.

Dalam serbuan yang dijalankan petang kelmarin, beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam perjudian termasuk wang tunai dan slip pertaruhan berjaya dirampas.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Liang bagi siasatan lanjut dan akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4 (c) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28 yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak kurang daripada $5,000.

Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait Penguasa Polis Awang Handrie semasa sidang media yang berlangsung di Mes Pegawai, Panaga, Kuala Belait.
Barang bukti yang dirampas disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian di Kampung Sungai Liang Belait.