Suspek ‘serangan’ Maduro bunuh diri

CARACAS, 9 Okt – Seorang ahli pembangkang yang didakwa terlibat dalam satu ‘serangan’ dron yang gagal ke atas Presiden Nicolas Maduro didapati membunuh diri semasa penahanan sementara di ibu penjabat perisikan, menurut pendakwa raya tertinggi Venezuela lewat semalam.

Peguam Negara Tarek William Saab memberitahu televisyen negeri, VTV, bahawa Fernando Alban ‘meminta izin untuk pergi ke tandas dan pada ketika itu dia terjun dari tingkat 10’.

Parti Keadilan Pertama Alban mendakwa kematiannya adalah satu pembunuhan.

Alban, yang merupakan ahli majlis bandar dri Caracas, adalah antara 15 orang yang ditangkap dan didakwa terlibat dalam kejadian 4 Ogos lalu.

Maduro kelihatan terkejut semasa membuat ucapannya pada perarakan tentera di Caracas, yang disiarkan secara langsung ketika satu letupan berlaku.

Letupan kedua kedengaran dan pasukan tentera yang berhimpun dilihat berpecah dan lari bertempiaran kerana panik.

Maduro berkata letupan itu berpunca daripada beberapa dron yang dihantar untuk membunuhnya, meskipun beberapa ahli pembangkang menuduh Maduro mereka-reka kejadian itu bagi mengekalkan kuasanya di negara itu, yang ketika ini mengalami krisis ekonomi.

Alban telah ditahan pada Jumaat lalu.

Bekas calon presiden Henrique Capriles, juga ahli Keadilan Pertama, berkata apa yang telah berlaku ‘adalah tanggungjawab penuh rejim’.

“Antara kami yang mengenali Fernando tahu bahawa dia tidak mungkin bertindak sehingga membunuh diri,” katanya melalui Twitter.

Peguam majlis bandar, Joel Garcia memberitahu para wartawan bahawa ia terlalu awal untuk mengesahkan sama ada kes itu adalah bunuh diri atau sebaliknya. – AFP