Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Seorang lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan menipu rakan sekerjanya dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Mohammad Norsyazwan bin Mohd Danan didakwa menipu rakan sekerjanya yang bertugas di bahagian stor PanaHome Electronics Sdn Bhd dengan mengemukakan tempahan invois yang kononnya daripada pelanggan.
Tempahan invois itu adalah untuk 10 unit penyedut habuk dan 26 unit Blue Ray DVD. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Januari 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak mempunyai bantahan untuk tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin kerana siasatan terhadap tertuduh sudah pun selesai.
Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman menetapkan 29 April untuk sebutan semula.