Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Susu tercemar jejas 83 negara

    PARIS, 14 Jan – Skandal salmonela yang melibatkan kumpulan tenusu Perancis, Lactalis telah menjejaskan sebanyak 83 buah negara, yang mana sebanyak 12 juta kotak susu tepung anak damit telah ditarik balik, menurut CEO syarikat itu semasa temu bual bersama media Perancis.

    Emmanuel Besnier, berketurunan daripada sebuah keluarga berahsia di sebalik salah satu kumpulan tenusu terbesar di dunia, berucap secara terbuka buat pertama kali sejak bantahan meletus berhubung dakwaan bahawa syarikat itu menyembunyikan wabak salmonela di kilang pembuatan produk.

    “Kami mesti mengambil kira skala operasi ini: lebih 12 juta kotak terjejas,” katanya sambil menambah bahawa para pengedar tidak perlu mengasing-asingkan pengeluaran itu untuk mencari susu tepung yang tercemar. “Mereka tahu bahawa semuanya mesti dikeluarkan dari rak,” menurut Besnier.

    Besnier, yang dipanggil ke kementerian kewangan Perancis Jumaat lalu telah menjanjikan bayaran pampasan bagi semua keluarga yang terjejas.

    Gambar menunjukkan seorang ahli Direktorat Jeneral Pertandingan, Hal Ehwal Pengguna Dasar dan Kawalan Penipuan (DGCCRF) Perancis memeriksa produk susu untuk anak damit di sebuah pasar raya Orleans di Loiret, Perancis pada 11 Januari 2018. – AFP

    Dia berkata bahawa kesan akibat krisis kesihatan ini kepada para pengguna, termasuklah anak damit yang berusia di bawah enam bulan, muncul dalam fikirannya. “Ia menjadi kebimbangan besar kepada kami dan diri saya sendiri,” katanya kepada Journal du Dimanche.

    Beratus-ratus tindakan undang-undang telah difailkan terhadap kumpulan itu oleh keluarga yang mengatakan anak-anak mereka mengalami keracunan salmonela selepas meminum susu tepung keluaran syarikat itu.

    Setakat ini para pegawai Perancis telah melaporkan sebanyak 35 kes anak damit mengalami salmonela akibat susu tepung itu, sementara satu kes dilaporkan di Sepanyol dan satu lagi sedang disiasat di Greece.

    Pertubuhan yang mewakili mangsa mengatakan pihak berkuasa telah meremehkan jumlah bilangan kes. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda