Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Susun atur tuala lebih kemas

    Oleh Amri HTZ

    Kebersihan kekal menjadi keutamaan dalam kehidupan lebih-lebih lagi ketika dunia masih lagi berdepan dengan virus COVID.

    Hal ini merangkumi tempat tinggal, ruang kerja di pejabat mahupun diri.

    Kerap membasuh tangan amat disarankan sama ada menggunakan pensanitasi yang mengandungi alkohol ataupun sabun dan air agar segala bakteria mahupun virus yang ada pada kulit belakang dan telapak tangan tidak dipindahkan pada permukaan lain.

    Setelah membersihkan tangan, ini perlu diikuti dengan mengeringkannya menggunakan kertas tisu mahupun tuala kering.

    Sedia barangan lebih awal
    Dalam memastikan tuala kering yang digunakan dalam keadaan tersusun dan mudah diambil, projek kali ini akan mereka tempat penyimpanan tuala daripada kayu.

    Bagi mengikuti langkah pembuatan, sediakan beberapa batang kayu berwarna gelap berukuran 1 ½” x 1 ½”, gam kayu, kepingan kayu buangan berwarna cerah sebagai pasak, kertas pasir, ketam kayu, mesin pemotong kayu meja, sesiku, pita pengukur, pahat kayu, alat pengepit kayu, mesin gerudi, mata gerudi berukuran 8mm dan pensel atau pen penanda.

    Langkah mereka ruangan untuk pasak kayu dimasukkan menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja dengan tolok sebagai panduan. – Agensi
    Mesin gergaji aluminium antara alat yang boleh digunakan untuk memotongkan kayu menjadi bahagian-bahagian diperlukan. – Agensi
    Permukaan cantuman kayu perlu disapukan dengan gam kayu sebelum memasukkan pasak. – Agensi
    Pasak daripada kayu berwarna cerah yang telah dimasukkan pada kawasan cantuman. – Agensi
    Lubang ditebuk bagi membolehkan skru dimasukkan sebelum mengantungkannya di dinding. – Agensi

    Mudah tetapi menarik
    Sebelum memulakan proses pemotongan kayu, terlebih dahulu kayu yang tersedia akan diratakan menggunakan ketam kayu.

    Jika kayu yang digunakan melebihi ukuran yang diperlukan iaitu 1 ½” x 1 ½”, awda perlu memotongkannya dengan ukuran diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja.

    Caranya amat mudah, menetapkan jarak rip fence dari bilah pemotong, kayu tadi hanya perlu disorong perlahan untuk memotongkannya.

    Gunakan push stick sebagai keselamatan ketika kayu disorongkan terutama pada bahagian penghujungnya. Selain itu, kelengkapan keselamatan seperti kaca mata, penutup telinga dan apron khusus juga perlu digunakan bagi memastikan keselamatan diri.

    Bagi awda yang memotongkan kayu tersebut menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja, meratakan permukaan kayu menggunakan ketam merupakan pilihan.

    Menggunakan kertas pasir untuk melicinkan permukaan amat disarankan dengan menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit.

    Namun bagi awda yang menggunakan gergaji secara manual, permukaan kayu masih perlu diketam untuk meratakannya memandangkan permukaan potongan yang terhasil daripada gergaji setentunya tidak rata.

    Teknik cantuman dalam projek ini akan menggunakan mitered butt oleh itu ia memerlukan awda untuk memotongkan sudut hujung kayu dengan 45 darjah. Tetapkan tolok pada kedudukan 45 darjah untuk mendapatkan sudut potongan sedemikian.

    Potong kayu dengan sudut 45 darjah secara bertentangan pada bahagian hujung kayu dengan panjang 10” untuk dua batang, 7 ½” untuk empat batang dan 24” dua batang dengan kesemuanya mempunyai ukuran 1 ½” x 1 ½”.

    Ukuran yang digunakan di sini adalah mengikut besar tuala yang akan digunakan oleh itu awda perlu menyesuaikan lebar dan tinggi rangka tempat menyimpan tuala tersebut dengan ukuran tuala (setelah digulung)yang dimiliki.

    Bagi memastikan setiap batang kayu dipotong dengan tepat, ukur dan tandakan permukaan kayu tersebut.

    Selain sebagai penanda kawasan potongan, penandaan permukaan kayu itu juga bagi memastikan awda tidak tersalah potong di mana sudut 45 darjah pada kedua-dua bahagian hujung kayu perlulah bertentangan bagi membolehkannya dicantumkan.

    Dalam memberi kelainan dalam rekaan, setiap bahagian cantuman kayu nanti akan dipasang pasak berupa kayu berwarna cerah.

    Selain sebagai kelainan dan gaya, tujuan pasak itu adalah untuk mengukuhkan lagi cantuman walaupun ia akan disapukan menggunakan gam kayu nanti.

    Pasak daripada kayu yang gunakan dalam projek ini merupakan kayu buangan atau lebihan kayu daripada projek sebelumnya. Pada kebiasaannya potongan kayu kecil akan dibuang atau dibakar, oleh itu bagi memanfaatkannya, jadikannya sebagai salah satu bahagian dalam rekaan merupakan langkah yang bijak.

    Potong kayu berkenaan dengan ukuran 8mm tebal dengan lebar 1.5sm juga menggunakan mesin pemotong kayu.

    Untuk memasang setiap kayu pasak tersebut, awda perlu memotong ruangan pasak menggunakan mesin pemotong kayu meja atau hanya menggunakan pahat kayu. Ruangan pasak yang akan direka akan mempunyai sudut 45 darjah. Berbeza dengan langkah sebelumnya untuk mendapatkan potongan 45 darjah dengan menetapkan tolok besi, kali ini awda perlu menetapkan bilah pemotong pada kedudukan 45 darjah.

    Pastikan tolok besi pada kedudukan sifar sebelum menyorongkan material berkenaan. Langkah ini akan dilakukan dengan cara dua kali potongan sesuai dengan ukuran pasak yang akan digunakan.

    Dengan langkah memotong menggunakan mesin pemotong, ruangan tersebut perlu dibersihkan menggunakan pahat kayu. Selain membersihkannya, pahat juga digunakan untuk meratakan bahagian dalaman kayu.

    Setelah siap, kini awda hanya perlu melakukan dry fit untuk setiap bahagian kayu bagi memastikannya dalam kedudukan yang tepat. Mencantumkan kesemua bahagian kayu memerlukan awda untuk menyapukan gam kayu secara menyeluruh pada permukaan cantuman.

    Selain itu, pasak kayu yang dimasukkan juga perlu disapukan dengan gam dengan lebihan kayu akan dipotong dan diratakan menggunakan pahat kayu. Biarkan gam mengering lebih beberapa jam sebelum meneruskan langkah membulatkan setiap sudut kayu.

    Sudut kayu yang berbentuk 45 darjah setentunya akan menghasilkan permukaan yang tajam dan ini perlu dibuang dengan cara membulatkannya.

    Gunakan kertas pasir berukuran 400 grit atau hanya menggunakan bahagian sisi pahat kayu dengan cara menggeseknya. Langkah ini akan membuatkan permukaan kayu yang tajam menjadi membulat dan mengurangkan risiko kecederaan ketika mengendalikan atau menempatkan tuala pada tempat penyimpanan tuala yang direka tersebut.

    Untuk memasangnya nanti pada dinding tandas, awda perlu menebuk lubang untuk membolehkan skru dimasukkan pada kayu berukuran 10” panjang pada rekaan tersebut (kedua-dua bahagian atas dan bawah).

    Bagi melindungi rekaan agar bertahan lama daripada kerosakan, permukaan kayu perlulah dilapisi dengan wood finish pilihan.

    Tujuan utamanya adalah bagi mengelakkan kelembapan meresapi kayu sekali gus merosakkannya selain lapisan kemasan itu akan membuatkan ira-ira yang terdapat pada permukaan kayu timbul dan menyerlah.

    Setelah membubuh skru pada lubang yang ditebuk, rak tuala awda boleh diletakkan di tempat yang bersesuaian untuk menyimpan tuala kering bagi para pengguna selepas menggunakan tandas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...