Suu Kyi berdepan satu lagi tuduhan rasuah

JAKARTA, 10 JUN – Pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi berdepan satu lagi pertuduhan rasuah oleh tentera Myanmar, lapor agensi berita Anadolu memetik akhbar Global New Light of Myanmar hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah mendakwa Suu Kyi secara tidak sah menerima  AS$600,000 dan emas daripada bekas ketua menteri Yangon. 

Akhbar itu melaporkan Suu Kyi menggunakan pengaruhnya untuk menyewa tanah seluas 1.86 hektar dan bangunan di Bahan Township bagi membuka ibu pejabat Yayasan Daw Khin Kyi yang dipengerusikannya.

Suu Kyi dilaporkan didakwa di bawah Undang-Undang Antirasuah seksyen 55, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun jika disabitkan bersalah dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 14 Jun.

Suu Kyi dan beberapa pemimpin lain ditahan pada 1 Februari ketika tentera merampas kuasa. – Bernama

Suu Kyi