Suu Kyi kembali dibicarakan selepas kuarantin COVID

YANGON, 31 MAC – Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi kembali dibicarakan di mahkamah junta hari ini selepas dikuarantin kerana COVID yang dikesan dalam kalangan kakitangannya, satu sumber yang mengetahui kes tersebut menjelaskan.

Wanita berusia 76 tahun itu disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera tahun lalu yang mencetuskan protes besar-besaran dan berdepan sejumlah pendakwaan yang boleh menyaksikan beliau dipenjarakan sehingga 150 tahun.

Pada masa ini, beliau berdepan perbicaraan rasuah, melanggar akta rahsia rasmi Myanmar dan mendesak suruhanjaya pilihan raya. Suu Kyi dikenakan perintah kuarantin minggu lalu selepas kakitangannya didapati dijangkiti COVID.

Beliau muncul di hadapan hakim mahkamah daerah bagi perbicaraan akta rahsia rasmi di mahkamah khas bandar tentera Naypyidaw, menurut sumber. Suu Kyi didakwa bersama ahli ekonomi Australia, Sean Turnell yang diberkas beberapa hari selepas rampasan kuasa Februari lalu. Dakwaan itu membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun. – AFP