Suu Kyi pertahan keputusan Myanmar

HANOI, 13 Sept – Aung San Suu Kyi (gambar) hari ini mempertahankan keputusan Myanmar untuk memenjarakan dua wartawan Reuters yang melaporkan krisis Rohingya sambil membidas kritikan global terhadap perbicaraan yang dilihat sebagai percubaan untuk mengekang kebebasan akhbar.

Pemimpin de facto negara itu mengakui tindakan keras terhadap minoriti Islam yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘genosid’ boleh ‘dikendalikan dengan lebih baik’ tetapi menegaskan bahawa dua wartawan tersebut telah dilayan dengan adil.

“Mereka tidak dipenjarakana kerana mereka wartawan tetapi kerana mahkamah telah memutuskan bahawa mereka telah melanggar Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, masing-masing dipenjarakan selama tujuh tahun minggu lepas kerana melanggar undang-undang rahsia rasmi negara itu selepas melaporkan kekejaman tentera di Rakhine.

Suu Kyi yang pernah digelar sebagai juara hak global, telah ditekan untuk menggunakan kekuatan moralnya di Myanmar bagi mempertahankan pasangan itu.

Pengkritik yang mencabar keputusan itu termasuk kumpulan hak PBB yang pernah mengagung-agungkannya dan Naib Presiden Amerika Syarikat ‘menunjukkan’ di mana terdapatnya ketidakadilan. Namun Suu Kyi berkata kes itu meneguhkan kedaulatan undang-undang.

“Kes itu telah dibicarakan di mahkamah terbuka. Saya tidak fikir ada sesiapa membaca kesimpulan hakim,” katanya semasa perbincangan di Forum Ekonomi Dunia sambil menambah pasangan itu masih berhak membuat rayuan.

Komennya menarik tanggapan daripada kumpulan hak yang mendesak penerima Anugerah Nobel itu memohon pengampunan untuk wartawan daripada presiden.

“Mahkamah terbuka dibentuk untuk memberikan penjelasan mengenai proses keadilan,” kata Sean Bain dari Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa.

“Malangnya dalam kes ini kita telah melihat kelembapan institusi dan individu untuk menegakkan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.”

Operasi pembersihan diketuai oleh tentera yang bermula pada Ogos lalu mengusir 700,000 Rohingya ke Bangladesh dan diburukkan lagi dengan kekejaman yang meluas termasuk pemerkosaan, pembunuhan dan pembakaran oleh polis dan tentera Myanmar. – AFP