Suzuki Auto Fest buka tirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Suzuki Auto Fest anjuran Boustead Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta Suzuki di Negara Brunei Darussalam, membuka tirainya di Bilik Pameran Bee Motors Sdn Bhd, Beribi, hari ini.

Acara empat hari itu dilancarkan dengan upacara memotong reben yang disempurnakan oleh Pengurus Kanan Jualan Baiduri Finance Berhad, Haji Mohd Ali bin Haji Metussin.

Pengurus Pemasaran Suzuki Brunei, Adehelmie Jaafar dalam ucapannya berkata, acara itu diadakan untuk memberikan penghargaan atas sokongan berterusan orang ramai terutama sekali pelanggan tetapnya sejak tahun 1980an lagi.

“Suzuki Brunei dari dulu sehingga sekarang semakin berkembang dan kami mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh orang ramai. Maka dengan itu, kami memberikan diskaun khusus untuk barangan alat ganti asli model-model Suzuki generasi awal,” ujarnya.

Sempena acara itu, pelbagai aktiviti dan kempen akan diadakan untuk memberi penghargaan kepada orang ramai dan pelanggan tetap.

Orang ramai yang memiliki model-model Suzuki terdahulu, boleh mendapatkan barang alat ganti kereta Suzuki pada harga diskaun berkenaan di Bee Motors, Beribi.

Haji Mohd Ali memotong reben bagi menandakan permulaan Suzuki Auto Fest yang berlangsung selama empat hari di Bilik Pameran Bee Motors.
Haji Mohd Ali melihat barangan alat ganti model Suzuki yang dipamerkan semasa majlis pelancaran acara berkenaan.