PARIS, 6 JUN – Elina Svitolina hari ini menuduh Aryna Sabalenka sengaja ‘meningkatkan’ ketegangan antara pemain Ukraine dan Belarus itu pada Terbuka Perancis dengan merenung ke arahnya dari jaring.
Sabalenka memenangi perlawanan suku akhir mereka 6-4, 6-4 dan kemudian menghampiri jaring dengan jangkaan untuk berjabat tangan yang mana Svitolina sudah menegaskan bahawa dia tidak akan lakukannya.
Semua pemain Ukraine enggan berjabat tangan dengan saingan dari Rusia dan Belarus sebagai protes terhadap perang yang sedang berlaku.
Svitolina berpegang kepada kata-katanya, mengabaikan pemain nombor dua dunia, yang bersandar pada jaring, dan dengan tenang berjalan kembali ke kerusinya.
Svitolina, bagaimanapun, telah diejek oleh orang ramai di Court Philippe Chatrier.

Apabila ditanya sama ada Sabalenka telah menyebabkan keadaan menjadi semakin tegang dengan berdiri berhampiran jaring, Svitolina menjawab: “Ya, saya rasa begitu, malangnya.
“Saya tidak tahu mengapa dia menunggu, kerana kenyataan saya cukup jelas mengenai berjabat tangan,” tambah Svitolina, 28, yang berkata dia tidak terkejut dengan ejekan orang ramai itu.
“Saya menjangkakan perkara itu akan berlaku. Sesiapa dalam situasi ini, saya rasa, akan diejek, jadi saya menjangkakan itu. Ia bukan satu kejutan untuk saya.”
Apabila dia melihat Sabalenka menghampiri jaring, dia berfikir: “Apa yang kamu sedang lakukan? Saya sudah jelaskan pendirian saya.”
Sabalenka telah mengalahkan seorang lagi pemain Ukraine, Marta Kostyuk pada pusingan pertama. Kostyuk juga enggan berjabat tangan dan dia juga telah diejek.
“Mungkin dia (Sabalenka) tiada di media sosial semasa kejohanan itu, tetapi ia cukup jelas. Dia juga bermain dengan Marta pada pusingan pertama.”
Svitolina berkata dia dan rakan senegaranya akan meneruskan pendirian mereka di Wimbledon bulan depan.
“Saya tidak akan menjual negara saya untuk memuaskan hati semua orang,” katanya. – AFP