Swabber Bergerak laksana lebih 30,000 ujian

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sejak Swabber Bergerak dilaksanakan tiga bulan lalu yang bermula Ogos hingga Oktober 2021, sebanyak 32,156 ujian swab telah dijalankan iaitu 17,538 ujian menggunakan PCR dan 14,618 lagi menggunakan kit antigen rapid test (ART).

Daripada jumlah ujian-ujian yang dijalankan itu, bulan Ogos mencatatkan sebanyak 5,199 ujian PCR manakala 461 untuk ujian ART sementara bulan September, ujian PCR sebanyak 5,291 manakala 1,608 ujian ART.

“Sementara pada bulan Oktober pula mencatat sebanyak 7,048 orang untuk ujian PCR dan 12,549 untuk ujian ART,” kata Pegawai Perubatan Kanan Gred 1 (Pergigian), Dr Hajah Nurul Sa’idah binti Haji Ishak selaku penyelaras Pasukan Swabber Bergerak, Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam (PHEOC), Kementerian Kesihatan mengongsikan data tersebut semasa ditemu bual media berhubung fungsi Swabber Bergerak di Pusat Kesihatan Berakas, hari ini.

Menurutnya, Swabber Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile Swabbers adalah untuk memberikan kemudahan kepada orang yang tidak berupaya untuk hadir ke pusat ujian swab statik disebabkan masalah tertentu.

Ini seperti disebabkan mempunyai pergerakan yang terhad disebabkan terlantar dikatil atau menggunakan kerusi roda dan susah untuk dipindahkan menggunakan kenderaan biasa dan termasuk mereka yang tidak dapat menggunakan kenderaan sendiri atau ahli keluarga yang boleh memandu tetapi didapati positif dan dipindahkan ke pusat pengasingan.

Warga emas yang terlantar di katil ketika menjalani ujian swab yang dilakukan oleh Pasukan Swab Bergerak.
Pasukan Swabber Bergerak membuat ujian terhadap salah seorang penghuni rumah.
Seorang lelaki menjalani ujian swab semasa tinjauan media di Pusat Kesihatan Berakas, kelmarin.
Petugas menyediakan kelengkapan untuk menjalankan ujian swab di Pusat Kesihatan Berakas.
Pasukan Swabber Bergerak memakai PPE lengkap sebelum melaksanakan ujian swab di salah sebuah rumah yang dikunjungi.

“Klien utama pasukan yang diarahkan untuk menjalani ujian swab di bawah Akta Penyakit-penyakit Berjangkit ialah kontak terdekat kes positif dan kes positif yang menjalani pengasingan di rumah atau home isolation,” katanya.

Antara lokasi dan tempat yang menjadi tumpuan, jelasnya, seperti rumah persendirian dan termasuk rumah panjang di kawasan pedalaman seperti Ulu Belait, pusat tahanan, dormitori atau tempat tinggal pekerja asing.

Pasukan Swabber Bergerak ini telah ditubuhkan semasa gelombang pertama COVID-19 di negara ini pada 2020.

“Semasa gelombang kedua COVID-19 kali ini, kapasiti ujian swab telah dipertingkatkan daripada empat pasukan semasa gelombang pertama kepada 23 pasukan yang mana ahlinya terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Pasukan ini juga disertai oleh sukarelawan dari jabatan kerajaan lain seperti Biro Kawalan Narkotik, RTB dan Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk sukarelawan kesihatan dan sukarelawan belia,” katanya.

Mempunyai anggota seramai 95 orang, pasukan itu, katanya, berpusat di dua tempat iaitu pusat utama di Bangunan Kolej Asrama Lelaki, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Tingkat 2, Pusat Kesihatan Berakas di Kampung Lambak Kanan dengan bertugas secara syif iaitu syif pertama dari pukul 7 pagi hingga tiga petang manakala syif kedua bermula dari pukul 2 petang hingga 10 malam dan termasuk Jumaat dan Ahad.

Pasukan itu sekarang telah dapat menampung permintaan untuk ujian swab bergerak yang tinggi pada masa ini, sehingga boleh menjangkau sekitar 800 orang sehari, tambahnya.

“Dengan permintaan kapasiti itu juga, pasukan ini dapat ikut serta menjalankan ujian swab besar-besaran bagi kawasan-kawasan zon merah di mana operasi ini diselaraskan oleh N3C19 bersama pusat ujian swab yang lain seperti di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, pandu lalu Bridex dan lainnya.

“Pasukan ini juga terlibat dalam menjalankan ujian besar-besaran menggunakan ART bagi orang ramai yang akan mendapatkan vaksin di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup dan Pasukan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak di kawasan pedalaman seperti Kampung Lamunin, Mukim Labi, Kampung Menunggol dan banyak lagi,” jelasnya.

Terdahulu itu, pasukan Swabber Bergerak mengadakan kunjungan ke rumah persendirian yang menjalani Perintah Kuarantin (QO) untuk membuat ujian swab PCR.